• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

"Harap Tragedi Keganasan Terhadap Faisal, Akhyar Adalah Yang Terakhir"

KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengharapkan agar tragedi keganasan yang berlaku terhadap dua pemain bola sepak Faisal Halim dan Akhyar Rashid adalah kali terakhir dan tidak berulang lagi.

Katanya, detik itu merupakan sejarah hitam dalam bola sepak negara kerana tidak pernah berlaku lagi keganasan sedemikian sehingga menyebabkan kecederaan parah dialami dua pemain tersebut yang boleh menjejaskan karier bintang bola sepak terbabit.

"Saya harap kes ini yang terakhirlah (sebelum ini) tidak pernah berlaku serangan fizikal yang agak ganas  seperti ini dalam dunia bola sepak.

"Terutama bagi kes yang membabitkan Faisal Halim, kita harap itu peristiwa terakhir dan selepas ini akan balik dalam suasana positif, para pemain merasa tenang dan memiliki semangat kesukanan yang tinggi.

"Antara pasukan bola sepak akan harmoni bertembung diantara satu sama lain di dalam padang tidak terbawa-bawa sehingga ke luar padang (selepas tamat perlawanan)," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Hi-Tea Penaja Terengganu Football Club Sdn Bhd Sempena Pelancaran Kit Rasmi Musim 2024/2025, di Cindai Ballroom, Duyong Marina & Resort Pulau Duyong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TFC, Mohd Sabri Abas dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Marzuki Sulong.

Mengenai perkembangan siasatan yang menimpa pemain Terengganu FC (TFC) Akhyar Rashid, Hishamuddin berkata pihaknya dimaklumkan kes itu telah diserahkan kepada polis Bukit Aman.

"Ekoran kes yang timbul, pusat latihan ketika ini terpaksa ditutup dan pemain TFC kini berlatih secara tertutup kerana Akhyar dipercayai diekori oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum kejadian samun.

"Selain itu polis juga mengenal pasti semua alamat rumah pemain, kita juga diminta agar melaporkan pergerakan pemain kepada PDRM,"katanya.

Tambah beliau, tindakan menutup pusat latihan pemain kepada peminat TFC hanyalah bersifat sementara sehingga keadaan kembali reda.

"Sebagai langkah keselematan, kita juga memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) di pusat latihan tersebut," katanya.