KUALA NERUS, 17 Mei - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) DUN Seberang Takir 2025, Ahmad Wajdan Mohd Shafiee, 18, dari Sekolah Imtiaz Besut membuktikan bahawa kejayaan tidak datang secara mudah, sebaliknya lahir daripada usaha berterusan, disiplin diri dan kesungguhan menuntut ilmu.
Ahmad Wajdan berkata, antara amalan utama yang membantunya mencapai kecemerlangan ialah sentiasa membawa buku nota dan mencatat setiap perkara baharu yang dipelajari, khususnya ketika membuat latihan.
“Saya sediakan satu buku. Bila saya buat latihan, saya tulis perkara yang saya dapat,” katanya.
Menurut Ahmad Wajdan, tumpuan penuh di dalam kelas ketika guru sedang mengajar juga sangat penting bagi memastikan setiap ilmu yang disampaikan dapat difahami dengan lebih baik.
Katanya, sikap rajin mencatat nota banyak membantu beliau membuat ulang kaji, selain menjadikan persiapan menghadapi peperiksaan lebih teratur dan meyakinkan.
“Memberi tumpuan sepenuhnya ketika pembelajaran serta sikap rajin mencatat nota banyak membantu saya dalam membuat ulang kaji dan menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin,” katanya.
Mengulas peranan ibu bapa, Ahmad Wajdan berkata, kedua-dua orang tuanya sentiasa memberi dorongan tanpa tekanan, selain membantu dari segi kewangan sepanjang tempoh persekolahan.
Ahmad Wajdan yang turut menerima tawaran temu ramah di PETRONAS turut menasihati pelajar yang bakal menduduki peperiksaan supaya tidak mudah berputus asa dalam mengejar kejayaan.
“Jangan pernah putus asa. Cari cara macam mana hendak dapat sesuatu, kena keluar daripada zon selesa dan jangan lalai dengan perkara yang buruk,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.
Khazan berkata, kejayaan itu turut membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh kecemerlangan pendidikan di Terengganu.
Menurut beliau, Terengganu berjaya mencatatkan keputusan SPM terbaik dalam tempoh 10 tahun dengan Gred Purata Negeri (GPN) 4.17, sekali gus mengatasi Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42.
“Sekalung tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), para guru yang berdedikasi serta ibu bapa yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan anak-anak,” katanya.
Tag :