• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Hari Bumi Mampu Tingkatkan Kesedaran




KUALA TERENGGANU, 23 April- Kegagalan masyarakat memelihara alam sekeliling boleh menyebabkan kemerosotan kualiti alam sekitar yang akhirnya menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat sejagat.

Pelbagai masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksik, penebangan hutan yang tidak terkawal akan menyumbang kepada fenomena perubahan iklim serta ketidakseimbangan kepada alam sekitar dan ekosistem.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, Gangguan kepada ekosistem ini boleh mengakibatkan berlakunya pelbagai jenis bencana alam seperti banjir, tanah runtuh, kemarau dan sebagainya.

Katanya, dalam usaha menjaga alam sekitar, bukan pihak kerajaan sahaja yang harus dipertanggungjawabkan, tetapi semua pihak perlu melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar.

“Apa yang penting adalah setiap individu perlu bersedia membuat sedikit perubahan kepada cara hidup seharian dengan amalan-amalan mesra alam seperti amalkan konsep kitar semula, tidak menggunakan plastik sekali pakai dan gunakan bahan buangan organic untuk dijadikan baja kompos.

“Langkah-langkah yang dilaksanakan ini dapat memelihara bumi kita supaya ia masih bermaya untuk menjadi habitat bagi semua kehidupan,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Hari Bumi peringkat  Terengganu di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini semalam.

Pelbagai aktiviti dianjurkan antaranya pertandingan melukis poster dan kuiz.

Pelajar Cosmopoint yang menjuarai Pertandingan Melukis Poster, Alif Haikal Azman, 20, berkata dia mula menyertai pelbagai pertandingan poster sejak darjah enam dan berjaya meraih juara sebanyak dua kali, termasuk pertandingan Hari Bumi yang disertai kali ini.

Katanya, dia meneroka pelbagai laman sesawang sema-mata mahu mencari idea perihal penjagaan bumi dan menjadikan penyu sebagai objek utama dalam poster yang dihasilkan.

“Berkat usaha dan dorongan ayah yang juga seorang pereka grafik,  saya berazam akan meraih pelbagai kejayaan lain berkaitan bidang seni lukis,”katanya.




Tag: