• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hari Tanah Lembap Sedunia : Promosi Setiu Wetlands

SETIU, 6 Februari – Kesedaran dan kerjasama dalam memulihara khazanah alam di Taman Bencah Setiu (Setiu Wetlands) perlu diterapkan di dalam pelbagai pihak termasuk komuniti bagi memelihara alam sekitar disamping faedah ekonomi dan pelancongan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) mewakili Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, warga tempatan bersama pihak berkaitan perlu konsisten berganding bahu membangunkan kawasan ekologi tersebut di mata dunia.

“Selari dengan Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia (World Wetlands Day), di samping menjaga persekitaran dan kelestarian kawasan seluas 1596 hektar ini, masyarakat juga boleh mempelajari fakta-fakta dalam menjadi ‘spokesperson’ tarikan eko pelancongan ini.

“Pakej dibawa daerah Setiu amat unik, termasuk Setiu Wetlands, para pelancong boleh melihat keunikan dan keistimewaan budaya komuniti di Kampung Mangkuk, ini akan membawa hasil ekonomi buat kita.

“Bersama agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTNT), Institut pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta ahli masyarakat mengekalkan kelestarian taman negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Sambutan World Wetlands Day 2022 di Jeti Kampung Gong Batu, pagi semalam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Rosli Latif.

Sementara itu, Pengarah MPTNT, Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman menjelaskan, penganjuran kali kedua itu berperanan mengangkat lokasi yang menyimpan lebih 10 ekosistem itu dikenali dan berdaya saing dalam sektor eko pelancongan.

“Kesedaran betapa pentingnya tanah bencah memerlukan pemuliharaan konsisten kerana ia bukan sahaja membawa rezeki kepada masyarakat tetapi juga perlindungan daripada bencana seperti banjir dan hakisan.

“Oleh itu, pentingnya agar kita memikul tanggungjawab ini bukan sahaja di peringkat kerajaan tetapi juga di peringkat komuniti,” tambahnya.

Dalam program tersebut, pelbagai pengisian menyeronokkan dijalankan seperti pertandingan mewarna bot Setiu Wetlands, pertandingan memasak Selera Rasa, Fun walk dan lain-lain lagi.