• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Foto oleh : Wan Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU, 2 September - Beliawanis dari pelbagai daerah dalam negeri Terengganu telah berjaya menawan puncak Bukit Harimau Menangis, Kemasik dalam satu program pendakian sempena Hari Kemerdekaan ke-63.

Menurut Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT), Nasir Abdul Razak program tersebut merupakan suatu inisiatif yang baik bagi mengumpulkan anak muda dan golongan belia termasuklah beliawanis.

Kata beliau lagi, umum mengetahui bahawa program ‘outdoor’ sangat sinonim dengan anak muda yang suka kepada cabaran dan kebebasan.

“Penganjuran program ‘Hiking’ Merdeka yang pertama kali dianjurkan ini sekaligus menepati minat mereka yang cenderung kepada aktiviti sukan dan lasak.

“Di samping bertujuan untuk mengumpulkan anak muda khususnya wanita yang berminat dengan aktiviti mendaki, program ini secara tidak langsung juga memperkenalkan cara hidup yang sihat dan bermanfaat.

“Selain itu, ia juga dapat mengeratkan silaturrahim antara para beliawanis bukan sahaja di Kemasik ini tetapi juga dari seluruh Terengganu,”ujarnya.

Nasir berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.

Program Hiking Beliawanis Merdeka 2020 ini telah disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi seperti wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beliawanis, pejabat daerah, pejabat pendidikan daerah dan sekolah-sekolah berdekatan.

Program tersebut turut melibatkan wakil pusat khidmat masyarakat (PKM), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Majlis Pewakilan Komuniti Kampung (MPKK), Krew Bukit Harimau Menagis serta rakyat tempatan.

“Persatuan Kebajikan Sedia Setia Hawa Terengganu (SETIA) menjadi pendokong kuat kepada penganjuran program ini di samping agensi-agensi lain.

“Dan tanpa kita sedar sebenarnya, program seumpama ini dapat mempromosikan tempat rekreasi dan sukan yang menarik di Terengganu,”tambahnya.