• 04 Mac 2021 | 20 Rejab 1442

Hasil Pertanian Terengganu Meningkat 13 Peratus

KUALA TERENGGANU, 25 Januari – Walaupun berdepan cabaran COVID-19, pengeluaran hasil pertanian Terengganu tetap meningkat sebanyak 13 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kuantiti pengeluaran hasil pertanian untuk tempoh Januari sehingga November tahun lepas mencatatkan sebanyak 54,391 metrik tan.

“Nilai keluaran tersebut kira-kira RM1.05 juta berbanding dengan tahun 2019 sebanyak 43,486 metrik tan sahaja.

“Selain itu, statisktik sektor perikanan sehingga November 2020 turut menunjukkan peningkatan daripada 4,468 metrik tan pada tahun 2019 kepada 5,133 metrik tan, peningkatan sebanyak 13 peratus.

“Dari segi ternakan, kuantiti hasil pengeluaran seperti lembu, ayam, kambing dan biri-biri amat membanggakan dengan catatan 25,537 metrik tan bernilai RM153.8 juta berbanding 7,585.5 metrik tan pada tahun 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap secara atas talian dalam Majlis Pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman, pagi tadi.

Sementara itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan kepentingan sektor pertanian dalam memastikan bekalan makanan mencukupi supaya kesejahteraan sesebuah rakyat terjamin.

“Oleh yang demikian, kita sasarkan peningkatan tahap sara diri atau ‘self-sufficient level’ padi sebagai makanan ruji di Terengganu daripada 47 peratus kepada 53 peratus menjelang tahun 2021,” ulasnya.

Tambah beliau, penghasilan makanan dan pertanian berskala besar dan berteknologi tinggi boleh menjadi satu peluang kerjaya pada generasi ketika ini terutamanya golongan belia dan B40.