• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Hasrat Bantu Lebih Ramai Orang Dorong Pengamal Perubatan Jadi 'TikTokers'

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Hasrat untuk menjadi orang yang memberi manfaat mendorong pengamal perubatan, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, bergiat sebagai pencipta kandungan di aplikasi Tik Tok serta media sosial lain bagi menyampaikan ilmu serta maklumat berkaitan kesihatan kepada masyarakat.

Menurut pemilik kepada tujuh buah klinik itu, usaha yang dimulakan ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu memberi kepuasan tersendiri kepadanya.

"Aplikasi ini saya lihat suatu ketika dahulu terkenal dan dipenuhi 'content' joget-joget, saya terfikir mengapa tidak saya gunakan ia untuk berkongsi ilmu? 

"Jadi, saya mula kongsikan dalam semua media sosial saya terutama Tik Tok dan ramai suka serta memberikan reaksi balas yang baik membuatkan saya rasa tertarik untuk terus memberi manfaat kepada lebih ramai orang menerusi alam maya," katanya.

Hasil pendekatan tersebut menjadikan beliau pempengaruh terkenal yang mempunyai 1.5 juta pengikut di TikTok, 645,000 (Facebook),240,000 (telegram), 165,000 (Instagram) dan 70,000 (Twitter).

Dalam masa sama, Dr. Samhan juga dipilih sebagai salah satu calon yang berentap dalam Anugerah TikTok 2023 bagi kategori Best Of Education, yang berlangsung Ahad ini.

"Kadang-kadang untuk membuat kandungan ini tidak mudah, saya bermula merakam, menyunting dan memuat naik sendiri, tetapi setiap kali saya rasa lelah saya akan tanya diri kenapa saya bermula.

"Salah satu sebabnya ialah saat ketika saya hampir hilang nyawa akibat tersedak susu soya yang dimasukkan melalui hidung selepas saya selesai menjalani pembedahan membuang tulang rahang akibat Ameloblastama (penyakit tulang rahang pipi) pada tahun 2016.

"Ketika itu, saya tidak dapat bercakap kerana leher ditebuk dan gigi diikat, saya hanya mampu berdoa pada Allah SWT sekiranya saya ditakdirkan mati, saya memohon pengakhiran yang baik.

"Tetapi, jika dipanjangkan umur jadikan saya orang yang memberi manfaat. Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT saya dipanjangkan umur," katanya.

Pengasas Forhimclinic.com itu kini gembira dengan penglibatan lebih ramai pengamal perubatan yang berkongsi ilmu di media sosial.

Tambahnya, ia secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan kesihatan.

"Rakyat Malaysia memang sangat dahagakan ilmu terutama berkaitan kesihatan dan sering mencari tips kesihatan untuk menjadi sihat.

"Sekarang sudah ramai doktor yang berkongsi, saya tengok dan sangat gembira apabila lebih ramai dapat memberi manfaat untuk masyarakat dapat maklumat dan ilmu walaupun tidak datang berjumpa doktor.

"Ini sekurang-kurangnya membantu mengelakkan mereka berbuat sesuatu yang salah (tentang kesihatan diri) atau mengambil rawatan yang tidak sepatutnya," katanya.

 

 

 

 


Tag: