• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

HDC-UMT Tubuh Pusat Inovasi Halal Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 April - Halal Development Corporation Berhad (HDC) hari ini mengadakan usaha sama melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi menubuhkan Pusat Inovasi Halal di negeri Terengganu.

Majlis memeterai perjanjian antara pihak HDC dan UMT itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. HDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hairol Ariffein Sahari manakala UMT diwakili Naib Kanselornya, Prof Dato Dr Nor Aeni Mokhtar.

Dalam pada itu, Nurkhuzaini menyifatkan perjanjian yang julung kali termeterai tersebut merupakan suatu usaha yang dipuji kerajaan negeri.

"Terengganu adalah negeri pertama yang dipilih dalam siri Jelajah Halal Malaysia di mana HDC dan UMT bekerjasama dalam meningkatkan penyelidikan dan pembangunan halal dan seterusnya mewujudkan Pusat Inovasi Halal di Terengganu.

Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

"Justeru saya mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu, merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama dan sokongan padu yang diberikan oleh semua pihak bagi meningkatkan kedudukan ekonomi syarikat-syarikat IKS (Industri Kecil dan Sederhana) melalui agenda industri halal.

"Dengan adanya kerjasama strategik di antara kerajaan negeri, pihak HDC serta rakan-rakan strategik yang lain, ianya akan dapat membantu menggerakkan pembangunan industri halal sekali gus membuka pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat negeri Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jelajah Halal Malaysia di sini pagi tadi.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi HDC, Dato’ Mahmud Abbas dan Ketua-ketua Jabatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari percaya, ramai pengusaha di negeri berkenaan dapat mengambil peluang berkenaan dan mampu memajukan perniagaan mereka.

Jelasnya, agenda pembangunan Halal Malaysia  mampu memberi nilai tambah kepada agenda pertumbuhan sosio ekonomi negara.


Tag: