• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Hentikan Retorik, Rakyat Cerdik Menilai

KUALA TERENGGANU, 31 Julai- Ahli-ahli politik disaran mengemukakan realiti yang berpaksikan fakta dan berhenti mengalun retorik kerana rakyat telah cerdik untuk menilai mereka.

Calon PAS Ru Rendang yang juga mantan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat sekarang sangat cerdik, terbuka dan mudah mendapatkan banyak maklumat selain mendengar terus apa yang disampaikan ahli politik.

"Sebenarnya, apabila kita lihat sesuatu kita harus berpaksikan fakta dan bukan berpandukan sentimen semata-mata.

"Keputusan dan data menunjukkan buktinya, apabila kita boleh menunjukkan bahawa prestasi kerajaan yang ditadbir PAS bersama-sama rakan di negeri Terengganu jauh lebih baik.

"Sebagai contohnya, sepanjang tempoh 2004 sehingga 2017 di bawah kerajaan yang lalu, kita dapati pelaburan daripada luar menyumbang RM5.5 bilion kepada negeri. Tetapi, apabila kita ambil alih pada 2018 sehingga 2022, kita menerima pelaburan lebih sekali ganda kepada RM11 bilion," katanya.

Tambah beliau, sentimen yang dimainkan ahli-ahli politik akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

"Ini yang merisaukan kita bila mana ahli-ahli politik di sebelah sana melakukan pembohongan demi pembohongan bagi menutup pembohongan mereka, saya harap rakyat boleh sedar.

"Saya percaya bahawa kerosakan yang dibuat oleh kerajaan yang lalu adalah sangat besar (di Terengganu), tetapi kita tidak mengungkit-ungkit sebaliknya, kita cuba menyelesaikan masalah rakyat.

"Apa yang penting, kita elakkan diri dari budaya ugut-mengugut, balas dendam sebagaimana di uar-uarkan kepimpinan kerajaan yang lalu, suara nada ugut ini sentiasa berkumandang. Rakyat harus sedar bahawa pendekatan yang kami bawa iaitu politik kasih sayang lebih menimbulkan keharmonian dalam masyarakat," jelasnya lagi.

Dr Samsuri turut menyifatkan, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) di enam negeri kali ini memperlihatkan sambutan luar biasa kepada Perikatan Nasional (PN).

"Saya lihat perkembangan yang luar biasa. Kita sudah melalui banyak pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil di pelbagai tempat tetapi trend yang ada sekarang ini, sambutan luar biasa bukan di sahaja di negeri yang tradisionalnya PAS kuat iaitu di Kedah Kelantan dan Terengganu, tetapi juga di negeri-negeri di Pantai Barat.

"Luar biasa itu, kita nampak gelombang rakyat memang lari dari kebiasaan dan kita harap kekal sehingga hari pengundian," katanya.

 

 

 

 


Tag: