• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hidrogen Hijau Sumber Baharu Terengganu?

KUALA TERENGGANU, 13 November – Industri hidrogen hijau dijangka akan dibangunkan menjadi pendapatan baharu Terengganu sekali gus mengurangkan kebergantungan negeri Pantai Timur itu terhadap petroleum.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa cara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap hasil petroleum semata-mata.

Ujar beliau, pihaknya telah mengambil beberapa langkah awal untuk membangunkan industri hidrogen hijau. 

"Sarawak yang terlebih dahulu menggunakan kaedah berkenaan telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Terengganu.

"Ia bagi membolehkan negeri ini dapat mendalami serta meneliti inisiatif yang digerakkan oleh Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sultan Mizan Underwater Photography Awards 2023 bertempat di Istana Syarqiyyah Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

Tambah Ahmad Samsuri, usaha tersebut sedang digarap termasuk perbincangan bersama pakar dari Korea Selatan dalam bidang terbabit.

"Walau bagaimanapun, negeri ini masih bergantung kepada hasil Petroleum 

"Namun, saban tahun telah berlaku penurunan Kadar kebergantungan terhadap hasil tersebut," ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata Terengganu hanya menerima bayaran dana khas (wang ehsan) berjumlah RM405 juta daripada Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan enam kali pembayaran.  

Katanya, jumlah yang diterima itu adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022.

 

 


Tag: