• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

Himpunan Daie : Terengganu Perkasa Pendidikan, Lahir Generasi Ulul Albab

Mohd Nor berucap di hadapan 50,000 rakyat  dari dalam dan luar Terengganu.
KUALA NERUS, 9 Februari – Kerajaan Terengganu terus komited untuk memperkasakan pendidikan bermula dari usia kanak-kanak bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang bakal memimpin negeri dengan acuan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, memahami cabaran besar dalam memperkasakan syariat Islam pihaknya percaya sistem pendidikan akan membina masyarakat yang mampu berhadapan dengan apa jua situasi.

“Kita sedang menyediakan rakyat yang celik Islam dan memahami kewajipan memperjuangkan Islam ini melalui proses tarbiah atau pendidikan, b
ermula daripada peringkat kanak-kanak iaitu nurseri dan taska.

“Kemudiaanya dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menangah Islam Darul Iman (SMIDI), Sekolah Imtiaz di seluruh daerah negeri Terengganu,” ujarnya.


Generasi yang bakal memimpin negeri suatu hari nanti. Foto Oleh - Pok Abbas.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Himpunan Daie Nusantara Terengganu Sejahtera di Dataran ‘Drawbridge’ di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Nor memaklumkan, kerajaan negeri juga dalam usaha menubuhkan Kolej Universiti al-Quran Terengganu (KUQT) sebagai melengkapkan sistem pendidikan hingga ke peringkat pengajian tinggi.

“Di samping itu, kita juga mempunyai banyak pondok, maahad tahfiz dan sekolah agama rakyat yang telah kita berikan bantuan untuk memastikan anak-anak kita semua dididik dengan ilmu-ilmu Islam.

“Nanti, agama dan negeri ini akan dibangunkan dan dipertahankan oleh anak-anak kita ini. Mereka bukan sahaja profesional dalam kerjaya bahkan mempunyai fikrah Islam sebagai pedoman kehidupan,” tambah beliau.

Himpunan tersebut dihadiri lebih 50,000 rakyat dari dalam dan luar Terengganu bagi mendengar pengisian yang disampaikan oleh pendakwah terkenal nusantara, Dr Ustaz Abdul Somad.

Anak muda khusyuk mendengar pengisian. Foto Oleh - Pok Abbas.


Tag: