• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hindari Provokasi Ketika Himpunan Tolak ICERD - MB Terengganu

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 5 Disember - Rakyat negeri ini yang akan menyertai perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 8 Disember ini dinasihatkan supaya menghindari sebarang tindakan yang boleh mencetuskan kekacauan, provokasi dan rusuhan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peserta perhimpunan perlu mengelakkan sebarang perlakuan negatif dan mematuhi segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

“Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk menyeru seluruh rakyat Terengganu dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian untuk sama-sama hadir dalam perhimpunan ICERD yang dijadualkan pada hari Sabtu, 8 Disember yang akan datang ini.

“Bergeraklah ke sana dengan keadaan yang cermat dan patuh kepada undang-undang jalan raya serta berhimpunlah dalam keadaan aman, tenteram dan elakkan sebarang bentuk provokasi sekiranya ditimbulkan oleh pihak-pihak yang tidak ingin melihat perhimpunan aman itu dijalankan dengan penuh harmoni,” ujarnya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.

Katanya, peserta perhimpunan juga dinasihatkan agar mengikuti segala nasihat daripada pihak berkuasa agar perhimpunan tersebut akan menjadi contoh perhimpunan terbaik pada masa akan datang.

“Ambillah maklumat dan dengarlah nasihat daripada pihak keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya perhimpunan tersebut akan menjadi satu contoh perhimpunan yang terbaik di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keharmonian dan kesejahteraan yang berpanjangan dalam politik dan sosiologi masyarakat di tanah air kita ini," ujarnya.



Tag: