• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Hormati Mahkamah, Harap Beliau Sabar Dengan Ujian'

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak bersabar dengan ujian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman bersalah terhadapnya.

Secara peribadi katanya, beliau mengharapkan Najib kuat semangat dan dapat hadapi ujian berkenaan dengan tenang.

“Pertama, kita menghormati keputusan mahkamah, keduanya kepada yang menerima hukuman diharap bersabar dengan ujian ini, kuatkan semangat hadapilah dengan tenang dan banyak ruang-ruang waktu yang ada itu boleh digunakan untuk mengembalikan semangat dan sebagainya walaupun suasana yang sangat berbeza.

“Ketiga, kepada orang lain tentulah apa yang boleh saya kata ialah ‘life must go on’, hidup mesti diteruskan, kita yang masih sihat ini hendaklah mencari jalan yang terbaik dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa SPC Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, mengulas mengenai hubungan antara PAS dan UMNO setelah UMNO terpalit dengan isu tersebut katanya, PAS masih terbuka untuk agenda perpaduan ummah.

“Saya selalu sebut mempertahankan perpaduan ummah, walau apa jua nama, cara dan yang boleh kita buat, kita akan usahakan tidak kira MN, PN atau apa sahaja, paling penting perpaduan ummah itu mampu dicapai untuk memperoleh kerajaan yang lebih stabil, kerana Malaysia kalau hendak bergerak ke hadapan, kita perlu kestabilan politik dalam negara kita,” ujarnya.

Katanya, kenyataan-kenyataan tidak membina perlu dikurangkan kerana yang lebih penting masing-masing berlapang dada.

“Tentu banyak perkara yang berbeza pandangan kalau kita duduk dan berbicara tentang perbezaan, satu minggu kita duduk pun tidak selesai.

“Tepati, kalau kita duduk dan membicangkan objektif bersama, persamaan, agenda besar, Insyallah kita mampu untuk mencari jalan untuk kita mencapai apa yang kita istilahkan sebagai kerjasama. Terpulang kepada diri kita sendiri, kepada seluruh kepimpinan bukan kepada satu parti, sebaliknya semua parti untuk mengambil inisiatif,” ujarnya.