• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hospital Pengajar UniSZA Beri Impak Besar Ekosistem Kesihatan Terengganu

KUALA TERENGGANU, 5 November – Pengoperasian Hospital Pengajar UniSZA memberi implikasi besar kepada ekosistem kesihatan di daerah Kuala Nerus dan juga negeri Terengganu secara amnya. 

Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Fadzli Adam berkata pada 23 Julai 2023, Hospital Pengajar UniSZA telah berjaya memulakan pengoperasian klinik-klinik pakar kepada orang awam. 

“Ia merupakan kejayaan besar bagi UniSZA dalam memberi manfaat kepada komuniti setelah pengoperasian Hospital tersebut.

"Hospital itu menyediakan Klinik Perubatan Dalaman, Klinik Ortopedik, Klinik Oftalmologi, Klinik Otorinolaringologi, Klinik Pediatrik, Klinik Obstetrik & Ginekologi, Klinik Pembedahan dan Klinik Psikiatri," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika program Hi-Tea Diraja Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UNISZA ke-15 bertempat di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini semalam.

Tambah Fadzli Adam, dijangka pada tahun hadapan hospital berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli hadir pada program berkenaan.

Ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra.

Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: