KUALA TERENGGANU, 15 April - Hubungan kerjasama antara Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) akan terus diperkukuh sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua parti itu terbukti memberi kejayaan, khususnya di negeri Terengganu.

"Seperti contoh di Terengganu ini, bukan sahaja kita (Bersatu) bekerjasama, kita menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, ada exco kita dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media pada Majlis Sambutan Raya Bersatu Peringkat Terengganu, sebentar tadi.
Menurutnya, kejayaan tersebut menjadi asas penting untuk memperkukuhkan lagi perpaduan antara parti komponen PN, walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa.
"Dan orang kata untuk kehadapan itu, kita menekankan lagi betapa kerjasama dan perpaduan tu mesti kita jalinkan dengan lebih kukuh lagi.
"Walaupun kita berhadapan dengan macam-macam cabaran sekarang ini, tetapi kita sudah melihat dengan sebab adanya kerjasama antara PAS, Bersatu dan rakan-rakan dalam komponen Perikatan Nasional, kita telah menempa kejayaan," ujarnya.
Muhyiddin turut menegaskan bahawa kekuatan kerjasama itu disokong oleh sokongan besar pengundi Melayu-Islam, sekali gus memperkukuhkan kedudukan PN dalam politik negara.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan langkah segera sedang diambil bagi memperbaiki dan mengukuhkan perpaduan dalaman Bersatu agar hubungan dengan PAS terus erat.
"Di peringkat Bersatu kita ambil langkah segera untuk memperbaiki dan juga untuk mengukuhkan perpaduan dalaman Bersatu.
"Dan dengan cara itu kita dapat meningkatkan kerjasama kita dengan PAS, terutama di negeri-negeri yang di utara dan juga di negeri-negeri di tengah dan juga di selatan," katanya.
Beliau juga menambah bahawa persiapan awal telah dimulakan termasuk pengukuhan jentera pilihan raya bagi memastikan kerjasama antara parti dalam PN berjalan lancar menjelang pilihan raya.
Sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan kepimpinan tertinggi, Muhyiddin akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam masa terdekat.
"Jadi saya akan mengambil kesempatan itu untuk bertukar-tukar fikiran dan pandangan apa yang boleh kami lakukan baik di peringkat pimpinan tertinggi ataupun di peringkat yang lain supaya kedudukan perpaduan yang ada dalam Perikatan Nasional terus kukuh dan terus terjalan dengan baik," jelasnya.