• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445
Por Hui Ling. Foto ihsan - NSTP/ Berita Harian
KUALA NERUS, 20 Disember - Seorang murid berketurunan Cina Hokkien dan beragama Buddha mencatat keputusan luar biasa apabila berjaya meraih 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) yang diumumkan, baru-baru ini.

Kejayaan Por Hui Ling, 11, dari Taman Desa Jaya Kampung Gong Pak Damak itu merupakan satu sejarah di Sekolah Kebangsaan Tok Jiring (SKTJ).

Anak ketiga daripada empat beradik itu meraih semua A untuk semua subjek agama iaitu Ulum Syariah, Pelajaran Jawi, Lughatul al-Quran (Bahasa Arab), Penghayatan Cara Hidup Islam, Bidang al-Quran, Sirah, Adab dan Amali Solat.

Hui Ling berkata, dia mengikuti kelas UPKK atas kerelaannya sendiri memandang abangnya, Por Jie Hao, 14, pernah mengikuti kelas UPKK di SKTJ.

“Abang memperolehi 5A dan 3B dalam UPKK pada 2015 justeru saya terdorong untuk mencatat keputusan yang lebih baik daripada abang.

“Ibu dan ayah pula menyokong kerana bagi mereka, saya perlu mempelajari juga apa yang murid Melayu belajar kerana semua rakan Melayu juga belajar bahasa Mandarin.

“Memang seronok apabila berpeluang mempelajari semua subjek dalam UPKK terutama subjek Pelajaran Jawi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Tambahnya, dia berterima kasih kepada semua guru UPKK di SKTJ yang mengadakan kelas tambahan untuk murid yang lemah dalam subjek Pelajaran Jawi.

“Saya antara murid yang paling lemah dalam subjek Pelajaran Jawi justeru terpaksa mengikuti kelas tambahan pada Jumaat dan Sabtu. Dalam tempoh beberapa bulan, saya berjaya menguasai kemahiran membaca dan menulis Jawi selain boleh membaca perkataan dalam Bahasa Arab.

“Pencapaian itu memberi kepuasan kepada saya malah menjadi pendorong kepada rakan-rakan lain untuk cemerlang dalam UPKK,” katanya.

Menurutnya, semua jenis ilmu atau mata pelajaran boleh dikuasai sekiranya seseorang itu mempunyai kesungguhan dan keinginan yang tinggi.

“Saya hanya belajar ketika sesi pembelajaran di dalam kelas selain tidak malu untuk bertanya guru sekiranya tidak memahami sesuatu pembelajaran. Melalui disiplin itu saya berjaya mencapai kecemerlangan di dalam UPKK,” katanya.

Sementara itu, Jie Ho berkata, dia berasa bangga dengan pencapaian yang diperolehi adiknya itu.

“Semua subjek dalam UPKK itu bukan senang untuk skor A, paling susah subjek Pelajaran Jawi dan Bahasa Arab. Saya pernah mengikuti semua kelas UPKK oleh itu sedia maklum dengan cabaran dalam menguasai dan mempelajari semua subjek,” katanya.

Sementara itu Guru Besar SKTJ , Abdul Aziz Deraman berkata, kejayaan Hui Ling menjadi satu sejarah kepada SKTJ.

“Sebelum ini Jie Ho yang mencatat keputusan cemerlang dan diteruskan oleh Hui Ling dengan keputusan yang lebih cemerlang pada tahun ini. Kejayaan Hui Ling itu akan menjadi perangsang dan cabaran kepada murid-murid lain yang beragama Islam untuk turut cemerlang dalam UPKK,” katanya.

Menurutnya, Hui Ling antara 57 daripada 138 murid yang menduduki UPKK memperolehi 8A di SKTJ pada tahun ini.

SUMBER: BERITA HARIAN

Tag: