Jalur Gemilang
Berita :
Hulu Besut  Diperluas Dengan Pertanian Berteknologi
Hulu Besut Diperluas Dengan Pertanian Berteknologi
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
54

KUALA TERENGGANU, 18 November – Kerajaan Negeri terus memperluas pembangunan pertanian bernilai tinggi di Hulu Besut menerusi penglibatan pelabur, projek fertigasi, penternakan komersial dan akuakultur berasaskan teknologi moden.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, pendekatan itu turut memberi tumpuan kepada penglibatan golongan belia supaya sektor agromakanan tidak lagi dilihat sebagai bidang tradisional.

Katanya, kerajaan negeri membuka peluang kepada pelabur untuk membangunkan tanah kerajaan di Hulu Besut, selain mempromosikan kawasan padang ragut yang masih kosong bagi projek penternakan.

“Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Pelan Strategik Pertanian 2024-2030 menyasarkan transformasi negeri secara umum dan Besut, termasuk Hulu Besut sebagai hab pengeluaran makanan melalui beberapa inisiatif.

“Penglibatan pelabur dalam projek penanaman berskala besar amat dialu-alukan bagi mempercepatkan pembangunan pertanian serta menjamin bekalan makanan berterusan,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu (Belanjawan) hari ini.

Dalam masa sama, katanya, pembangunan pertanian bernilai tinggi turut diperkukuh melalui projek fertigasi Chegar Batang seluas 6.8 hektar yang memberi manfaat kepada 29 peserta, termasuk lapan peserta berusia 40 tahun dan ke bawah.

“Bagi 2025 dan 2026, projek tersebut menerima peruntukan RM840,000 untuk menaik taraf infrastruktur fertigasi,” ujarnya.

Dr. Azman menambah, potensi Hulu Besut dalam sektor penternakan pula diperkukuh menerusi Padang Ragut Segading seluas 79.25 hektar yang dipajakkan kepada pelabur bagi pelaksanaan projek Broiler and Grandparent Stock Farm Ayam Kampung.

Menurutnya, projek berkenaan mampu meningkatkan pengeluaran makanan, membuka peluang pekerjaan serta memberi pendedahan kepada belia tempatan terhadap industri penternakan komersial yang lebih moden dan berteknologi.

Sementara itu, subsektor akuakultur turut diberi nafas baharu apabila Jabatan Perikanan Malaysia menggalakkan penggunaan sistem ternakan terkawal yang lebih sesuai untuk pengusaha muda.

Katanya, pengeluaran akuakultur Hulu Besut meningkat daripada 21.59 tan metrik pada 2023 kepada 27.26 tan metrik pada 2024, sebelum mencatatkan 25.92 tan metrik pada 2025 di kawasan seluas 4.99 hektar.

“Pada 2025, sistem tangki simen mencatatkan pengeluaran tertinggi sebanyak 12.06 tan metrik melalui empat pengusaha, manakala sistem sangkar air tawar menyumbang 10.50 tan metrik.

“Kerajaan akan menggalakkan penggunaan tangki simen dan kanvas yang lebih menjimatkan ruang serta menggalakkan aplikasi Internet of Things (IoT) untuk pemantauan kualiti air secara masa nyata melalui telefon pintar,” tambah beliau.

Ujarnya lagi, penggunaan teknologi berkenaan dilihat lebih sesuai untuk menarik minat belia kerana tidak memerlukan kawasan luas seperti sistem kolam tanah tradisional, selain berpotensi mengurangkan kerja fizikal dan mempercepatkan pusingan modal.

“Golongan belia di Hulu Besut akan terus disasarkan untuk menyertai latihan teknikal dan pengurusan ladang pintar serta disokong melalui program SPeKS bagi membolehkan mereka membina perniagaan akuakultur yang berdaya saing,” tambahnya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan