• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hulu Terengganu Siap Siaga Hadapi Banjir

HULU TERENGGANU, 7 Oktober –Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir kini berada dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi musim tengkujuh dan kesannya kepada beberapa kawasan berisiko tinggi yang terdedah kepada bencana di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata, kesiapsiagaan membabitkan amaran awal, mencari dan menyelamat, pemindahan mangsa, pengurusan pusat pemindahan dan urusan pasca banjir.

Katanya, sebanyak 111 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh daerah ini sudah bersedia untuk menampung mangsa banjir pada musim tengkujuh yang dijangka melanda pada pertengahan bulan November nanti.

"Kita tahu dalam suasana COVID-19 banyak persiapan yang terpaksa kita lakukan dengan prosedur operasi standard (SOP), bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Kita sudah mempunyai pengalaman melaksanakan operasi banjir dalam suasana Covid-19 pada tahun lalu dan Alhamdulillah tiada kes penularan berlaku di PPS pada waktu itu,"katanya ketika ditemui di Dataran Kampung Sungai Dusun.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutup program Latih Amal Operasi Pengurusan Bencana Banjir peringkat Daerah Hulu Terengganu yang melibatkan 30 anggota pelbagai agensi.

Sementara itu, Mohd Adli berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut.

"JKM kini sedang menghantar bekalan makanan kering dan peralatan untuk kegunaan bakal mangsa banjir di 50 pangkalan hadapan di seluruh daerah ini yang dijangka selesai sepenuhnya pada hujung bulan ini," ujarnya lagi.

Menurut beliau, sebanyak tiga lokasi berisiko di Kuala Telemong, Ajil dan Kuala Berang yang sering dilanda banjir hampir setiap tahun akan diberikan tumpuan.

“Kesemua penduduk yang berisiko menghadapi banjir di tiga kawasan berkenaan akan dipindahkan lebih awal ke PPS sebaik bacaan air sungai berhampiran menghampiri paras bahaya,"ujarnya.