• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Ibadah Haji Serlah Perpaduan Dan Keharmonian Umat Islam


Oleh : Aziz Hambali

MARANG, 12 Ogos - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan ibadah haji adalah mesej perpaduan dan keharmonian umat Islam kepada dunia.

"Ibadah haji adalah himpunan tahunan terbesar umat Islam di kota suci Makkah dan diwajibkan kepada orang Islam yang mempunyai kemampuan.

"Sewaktu melaksanakan ibadat ini, umat Islam akan bertemu pelbagai bangsa, warna kulit dan bahasa tetapi seiring dalam mengagungkan Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selesai melakukan ibadah korban di rumah anakandanya, Yusuf Abdul Hadi berdekatan Pantai Rusila, di sini, semalam.

Presiden parti Pas itu turut menitipkan bahawa sewaktu hari raya Aidiladha, umat Islam juga dituntut menyembelih binatang ternakan sebagai simbolik mesej pengorbanan yang perlu dilakukan.

"Ikut sunnah, daging yang disembelih hendaklah dibahagi sama rata tanpa dijadikan upah bagi penyembelih kerana ia adalah kerja-kerja kebajikan.

"Allah SWT telah menjelaskan ibadat korban merupakan cerminan takwa seseorang hamba kepada-Nya. Bertitik tolak daripada kedua-dua ibadat haji dan korban, kita memahami bahawa tema perpaduan dan pengorbanan terangkum dalam usaha kita menjadi hamba Allah SWT yang bertakwa," jelasnya.

Dalam program berkenaan, daging daripada tiga ekor lembu yang dikorbankan dibahagi kepada tiga buah kampung iaitu Kampung Rusila, Kampung Rhu Renggeh dan Rhu Dua.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut berharap agar hari raya kali ini digunakan sebagai medan menguatkan keimanan dan menambah amal soleh sekaligus tetap memelihara tanggungjawab terhadap umat Islam dan masyarakat seluruhnya.



Tag: