lightning-solid
Berita :
Ibadah Korban Hotel Primula Santuni Golongan Memerlukan
Ibadah Korban Hotel Primula Santuni Golongan Memerlukan
Mastura Jamal Din
09 Jun 25
128

KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, inisiatif tahunan Primula Beach Hotel dengan menganjurkan program korban khas diteruskan untuk membantu golongan asnaf dan keluarga miskin bandar.

Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata ia merupakan komitmen pihak hotel dalam menjadikan aktiviti itu sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang 
kepada pembangunan komuniti.

Menurutnya, sebanyak empat ekor lembu korban telah disediakan, dengan setiap bahagian ditawarkan pada harga RM900, melibatkan lembu seberat 320 kilogram seekor. 

"Penyertaan dibuka kepada orang awam, warga kerja dan pelanggan setia Primula, dengan tujuan 
memperkukuh nilai kebersamaan dan penghayatan ibadah korban dalam komuniti. 

"Melalui program Korban Perdana ini, kami berharap dapat menyemai semangat keprihatinan dan 
perpaduan, di samping menghayati erti sebenar pengorbanan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Suaibah, Primula bukan sekadar sebuah hotel, tetapi juga sebahagian daripada masyarakat.  

Menurutnya, majlis turut disemarakkan dengan penglibatan para kakitangan, peserta korban, serta sesi gotong-royong pembungkusan dan agihan daging korban. 

"Kehadiran komuniti sekitar menambahkan kemeriahan, di samping memperkukuh hubungan silaturrahim antara pihak 
hotel dan masyarakat.

"Selain kita menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim AS, program ini juga kita menyemarakkan lagi kebersamaan, perpaduan di antara kita dengan masyarakat," ujar beliau. 
 


Tag :

Artikel Berkaitan