• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

IBS Kenaf Pemangkin Pendapatan Baharu Kontraktor Tempatan

KUALA TERENGGANU, 13 September – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali menjelaskan, sektor pembinaan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf mampu menjana pendapatan baharu bagi kontraktor tempatan di Terengganu. 

“Ia boleh dilaksanakan pada masa akan datang kerana teknologi IBS kenaf terbukti lebih sistematik, tahan haba, lebih tahan lasak, menjimatkan masa dan kos pembinaan serta ia lebih mesra alam.

“Kursus sehari anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini akan dijadikan sebagai platform kepada penggiat industri untuk mempromosi dan seterusnya menarik lebih ramai golongan berkenaan mengadaptasi penggunaan teknologi IBS berasaskan kenaf bukan sahaja di negeri ini malah diperluas ke negeri-negeri lain.” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan Sistem Binaan Berindustri (IBS) Kenaf Peringkat Terengganu di Hotel Paya Bunga, semalam.

Menurutnya, kursus tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada kumpulan sasar khususnya dalam sektor pembinaan berkaitan penggunaan dan pemasangan IBS kenaf selaras dengan tumpuan kementerian untuk meningkatkan keboleh pasaran produk berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam sekitar, dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri pembuatan termasuk pembinaan.

Jelasnya, ia bukan sahaja diharap dapat meningkatkan pengetahuan para peserta malah turut membuka peluang dalam menjana pendapatan dan mewujudkan jaringan perniagaan melalui aktiviti pemadanan perniagaan.