• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Ibu Korbankan Gaji Mewah, Jadi Pemotong Rumput Demi Keluarga



Norafsah (dua dari kiri).
                                                                 



Oleh : Aslam Wira

MARANG, 11 Jun - Norafsah Yacob @ Jusoh, 41, ibu kepada tujuh orang anak  meninggalkan ‘gaji mewah’ untuk bekerja sebagai pemotong rumput bagi menyara keluarga termasuk suaminya yang sakit dan tidak dapat berkerja.

Suaminya, Syamsudin Yahya menghidap sakit saraf dan sendi sejak 17 tahun lalu mengakibatkan keadaan dirinya tidak boleh bekerja dan bergerak lasak.

Norafsah merupakan seorang pereka bentuk yang mempunyai ijazah dalam ‘Industry Designer’ dari sebuah universiti awam tempatan di skudai, Johor.

Sementara itu, Syamsudin pula yang pernah bekerja dalam bidang Juruukur Bahan adalah lulusan Ijazah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Namun, kehidupan mereka berubah sekelip mata selepas Syamsudin menghidap penyakit saraf yang menyebabkan Norafsah terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja bagi menjaga suaminya.

Pegawai Khas Menteri Besar, Wahad Osman berkata, keadaan itu menyebabkan keluarga tesebut menghadapi bebanan kewangan termasuk dalam urusan pendidikan anak-anak.

“Kita akan cuba membantu Norafsah yang memerlukan bantuan kewangan bagi membiayai pendaftaran kemasukan salah seorang anaknya ke universiti tidak lama lagi.

Mempunyai anak-anak yang masih kecil
“Satu perbincangan bersama Yayasan Negeri Terengganu akan diusahakan bagi membantu anaknya menyambung pelajaran setelah mendapat tawaran diploma dalam bidang Pengajian Perniagaan,” kata Wahad ketika melawat keluarga tersebut di Kampung Baru Bukit Kecil, di sini semalam.

Turut hadir adalah Penyelia Pusat Khidmat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, Kakitangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) daripada Jabatan Perdana Menteri dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Baru Rhu Muda.

Di samping itu, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang juga akan membantu sedikit sebanyak dalam bentuk kewangan malah bantuan barang dapur untuk mereka sebagai asnaf penerima zakat juga turut dihulurkan.

Dalam perkembangan yang sama, Norafasah yang mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang turut menjalankan khidmat sebagai pemandu, dan mengemas rumah bagi menyara keluarganya.

Menurutnya lagi, beliau yang kini terpaksa menyewa rumah pernah memiliki dua bidang tanah dan sebuah rumah, namun terpaksa menggadaikanya demi menanggung kos perubatan suaminya.

 “Biar tiada wang emas, asal ada tenaga dan kudrat,” katanya yang diibaratkan walaupun tidak mempunyai harta benda untuk kesenangan hidup, tetapi dia beruntung kerana masih diberikan kesihatan tubuh badan yang baik untuk terus berkerja.



Tag: