• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

IGMR 2023: Lebih 1,000 Pelumba 'Langgar' Kemaman

KEMAMAN, 17 Disember - International Golden Monsoon Ride (IGMR) 2023 berjaya menghimpun lebih seribu penunggang basikal dalam program yang berlangsung di Kijal, semalam.

Penganjuran IGMR 2023 mendapat perhatian ramai apabila menampilkan 13 acara melibatkan hadiah keseluruhan bernilai RM31,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pengelolaan tersebut merupakan satu pengiktirafan buat kebolehan dan kemampuan syarikat- syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc dalam mengendalikan acara-acara sukan pada skala yang besar.

"Semestinya kejohanan sukan sebegini menuntut komitmen padu jawatankuasa penganjur dengan sokongan pelbagai pihak termasuklah penaja-penaja dan agensi- agensi di bawah Kerajaan Negeri demi memastikan kelancaran penganjuran.

"Saya juga percaya penganjuran kejohanan sebegini mampu melahirkan bakat-bakat besar dalam bidang sukan di samping menjadi satu pembudayaan ke arah meningkatkan kehidupan. kesihatan dan kualiti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan IGMR 2023 di Pangkalan Bekalan Kemaman, Telok Kalong, semalam.

Kejohanan yang dianjurkan pada edisi ketiga itu turut memerima penyertaan 30 peserta antarabangsa antaranya dari China, Indonesia dan Thailand.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan, dan NGO, beliau menyambut baik program- program yang dapat memberikan manfaat bukan sahaja kepada pihak penganjur mahupun komuniti yang terlibat, tetapi juga masyarakat serta Negeri Terengganu sendiri.

"Kejohanan sebegini juga jelas dapat memberikan pelbagai impak yang baik, sekaligus merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi dan juga pelancongan tempatan yang mana dapat dirasai oleh pengusaha- pengusaha di kawasan sekitar kejohanan berlangsung," tambahnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: