• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Imarahkan Kembali Masjid

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 15 Jun - Setelah hampir tiga bulan ditutup, akhirnya masjid dan surau kembali dibuka yang membolehkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dan solat jemaah lima waktu.

Pengerusi Masjid Muhajirin Felda Jerangau, Ridhuan Yusoff berkata, kebenaran menunaikan solat di masjid dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sewajarnya disambut dengan penuh iltizam oleh orang ramai untuk menunaikan solat jemaah setiap waktu terutamanya subuh agar institusi itu tidak lagi sepi.

“Kerinduan umat Islam yang dipendam sekian lama untuk kembali ke masjid bagaikan sudah terubat.

"Ini dapat dilihat ketika masjid kembali dibuka pada 12 Jun baru-baru ini dengan dimulakan Solat Jumaat, ramai yang hadir dengan memberikan kerjasama yang sangat baik serta tidak kurang yang bergambar kenangan di hari pertama.

"Namun keterujaan tersebut jangan hanya dizahirkan pada ketika Solat Jumaat sahaja, sedangkan solat pada waktu lain terutamanya Solat Subuh, entah kemana," ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Ridhuan berkata, kesempatan kembali ke masjid itu harus digunakan dengan sebaik-baiknya.

"Jangan ingkar dengan peraturan yang telah ditetapkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan ini.

"Sama-samalah kita mendoakan agar wabak COVID-19 dihilangkan oleh Allah," jelasnya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tidak kurang dari 1000 jemah yang hadir solat Jumaat baru-baru ini diseluruh masjid DUN tersebut.

"Inilah masa yang ditunggu-tunggu sekian lama oleh umat Islam, sewajarnya disyukuri dengan dizahirkan kesungguhan untuk memakmurkannya," ujar beliau.
 


Tag: