Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Tekad  Keluar Kelompok Tinggi Kadar Penagihan Dadah
Terengganu Tekad Keluar Kelompok Tinggi Kadar Penagihan Dadah
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
53

 KUALA TERENGGANU, 18 November– Kerajaan Terengganu menyasarkan negeri itu keluar daripada kelompok tertinggi kadar penagihan dan penyalahgunaan dadah di negara ini menerusi pendekatan bersepadu merangkumi pencegahan, rawatan serta pemulihan dan penguatkuasaan. 

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kawasan berisiko tinggi telah dikenal pasti di seluruh lapan daerah bagi membolehkan tindakan lebih berfokus dan bersasar dilaksanakan.

Menurutnya, usaha membanteras gejala berkenaan digerakkan menerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah Terengganu (MTMD) yang dipengerusikan Menteri Besar dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Terengganu.

“Pendekatan kita berdiri di atas tiga tiang, iaitu pencegahan melalui pendidikan dan dakwah, rawatan serta pemulihan yang berteraskan psikospiritual, dan penguatkuasaan yang tegas terhadap pengedar.

“Kita mahu setiap kampung di Terengganu menjadi kampung yang bersih daripada dadah, bukan sekadar melalui slogan, tetapi melalui kesepakatan seluruh masyarakat,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (BAJET), di sini, hari ini. 

Mengulas lebih lanjut, katanya institusi masjid dan surau turut diberikan peranan penting sebagai benteng komuniti dalam usaha membendung gejala berkenaan, khususnya menerusi pendekatan dakwah dan bimbingan kepada golongan muda.

“Institusi masjid dan surau akan terus diperkasa sebagai benteng komuniti, tempat anak muda dibimbing dan bekas penagih diterima kembali dengan penuh kasih sayang,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberi perhatian terhadap keperluan memperkukuh Perkampungan Darul Barakah di Pengkalan Berangan, Marang yang menjadi antara pusat pemulihan berteraskan pendekatan psikososial dan psikospiritual.

Menurutnya, pusat berkenaan telah membuktikan keberkesanannya membantu bekas penagih kembali mendekati al-Quran serta membina kehidupan baharu bersama keluarga selepas melalui proses pemulihan.

“Pusat ini telah membuktikan keberkesanannya melalui pendekatan psikososial dan psikospiritual sehingga ramai bekas penagih kembali dekat dengan al-Quran dan pulang kepada keluarga sebagai insan yang baharu,” jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan tahunan semasa hanya mampu menampung seramai 80 orang pelatih sedangkan permintaan untuk mendapatkan tempat di pusat berkenaan amat tinggi.

“Permintaan ini sendiri adalah bukti kepercayaan masyarakat terhadap pusat ini. Justeru, cadangan penambahan peruntukan akan diteliti bersama pihak pengurusan dan Perbendaharaan Negeri.

“Kerajaan Negeri juga akan meneroka sumber pembiayaan tambahan melalui kerjasama dengan AADK, MAIDAM, syarikat berkaitan kerajaan dan sektor swasta supaya lebih ramai yang ingin pulih diberi peluang kedua,” katanya.

Jelas beliau, usaha membanteras dadah memerlukan penglibatan menyeluruh masyarakat dan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu kerajaan atau agensi penguat kuasa.

“Harapan kita jelas. Kerajaan Negeri bertekad untuk terus menurunkan kadar penagihan dadah di Terengganu sehingga negeri ini tidak lagi berada di kedudukan teratas dalam statistik negara.

“Kita mahu setiap kampung bebas daripada cengkaman dadah, setiap keluarga terpelihara dan setiap anak muda Terengganu membesar dengan masa depan yang cerah.

“Matlamat ini tidak akan tercapai dengan usaha kerajaan semata-mata. Ia memerlukan kesepakatan ibu bapa, guru, imam, ketua masyarakat, NGO dan seluruh rakyat,” ucap beliau. 



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan