Jalur Gemilang
Berita :
ADUN Seberang Takir Gesa Tambah Rumah Mampu Milik
ADUN Seberang Takir Gesa Tambah Rumah Mampu Milik
Arifuddin Alias
54 minit yang lepas
21

KUALA NERUS, 18 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat menggesa pihak kerajaan supaya memperbanyakkan projek perumahan mampu milik bagi membantu rakyat yang tidak mempunyai tanah untuk memiliki kediaman sendiri.

Menurutnya, inisiatif tersebut merupakan langkah yang sangat baik dalam meringankan beban kewangan rakyat selain memberi peluang kepada lebih ramai penduduk memiliki rumah sendiri tanpa terbabit dengan unsur riba.

"Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, khususnya projek Program Perumahan Rakyat (PPR), bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Kita melihat projek perumahan di Banggol Pauh, Bukit Tunggal yang kini dalam pembinaan dan hampir siap sebagai satu usaha yang baik dan diharapkan inisiatif seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap membahaskan Rang Enakmen Perbekalan (Belanjawan) 2027 pada Sidang DUN Terengganu di Wisma Darul Iman, semalam.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah kepada rakyat yang mempunyai tanah sendiri untuk membina rumah.

Sehubungan itu, beliau turut memohon Kerajaan Negeri mempertimbangkan cadangan pembinaan projek PPR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, khususnya di Kampung Guchil, Bukit Tok Beng.

Katanya, cadangan berkenaan telah dikemukakan kepada pihak Kerajaan Negeri dengan mengambil kira potensi kawasan tanah seluas kira-kira 10 ekar di lokasi tersebut. Daripada keluasan berkenaan, sekitar lima ekar dicadangkan untuk dimanfaatkan bagi pembangunan projek PPR demi menyediakan kediaman yang lebih selesa kepada rakyat.

Beliau berharap cadangan itu mendapat perhatian dan pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan negeri kerana sekiranya direalisasikan, ia pastinya menjadi khabar gembira buat penduduk Seberang Takir, khususnya golongan berpendapatan rendah yang masih belum memiliki rumah sendiri.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan