KUALA TERENGGANU, 18 November – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 dengan mengaktifkan tujuh stesen operasi kawalan banjir serta menyediakan 6,300 liter diesel bagi memastikan aset mitigasi dapat digerakkan apabila diperlukan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, tujuh stesen berkenaan terdiri daripada dua stesen pam air berkapasiti tinggi, dua stesen pintu air pasang surut serta tiga stesen yang menggabungkan kedua-dua kemudahan tersebut.
Menurut beliau, kesiapsiagaan itu turut disokong 25 unit pam air bergerak yang kesemuanya telah menjalani penyelenggaraan dan berada dalam keadaan baik untuk beroperasi.
“Bahan api diesel sedia ada adalah sebanyak 6,300 liter dan semua pam bergerak telah diselenggara serta boleh beroperasi dengan baik,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, penyediaan aset, stesen kawalan dan bekalan bahan api itu penting bagi memastikan operasi mengepam serta mengawal aliran air dapat dilaksanakan dengan segera sekiranya berlaku peningkatan paras air atau banjir.
Selain pam bergerak, kemudahan pintu air pasang surut turut memainkan peranan penting dalam mengawal aliran air, khususnya bagi mengelakkan kemasukan air laut ketika paras air tinggi serta membantu pelepasan lebihan air ketika keadaan mengizinkan.
JPS sebelum ini turut memaklumkan bahawa pam bergerak akan ditempatkan lebih awal di kawasan berisiko tinggi berdasarkan keadaan cuaca, ramalan banjir dan faktor seperti air pasang dan paras sungai.
Kesiapsiagaan itu menjadi antara langkah penting JPS bagi memastikan tindakan mitigasi dapat dilakukan dengan pantas sekiranya Terengganu berdepan episod banjir sepanjang MTL 2026/2027.