Jalur Gemilang
Berita :
130 Peniaga Kecil Terima Pembiayaan Khas Bazar Ramadan Terengganu RM250,000
130 Peniaga Kecil Terima Pembiayaan Khas Bazar Ramadan Terengganu RM250,000
Noraini Jusoh
3 jam yang lepas
73

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Seramai 130 ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu bakal menerima manfaat Skim Pembiayaan Khas Bazar Ramadan (SPBAR) 2027 melibatkan peruntukan keseluruhan RM250,000.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, skim yang disediakan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu bertujuan membantu peniaga kecil menyediakan modal pusingan bagi menjalankan perniagaan sepanjang Ramadan.

Katanya, pembiayaan ini adalah alternatif kepada peniaga kecil khususnya dalam sektor makanan dan minuman untuk menampung kos pembelian bahan mentah, peralatan serta keperluan operasi sebelum hasil jualan diperoleh.

“Ia diwujudkan bagi membantu usahawan dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan, sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga.

“Selain itu, pembiayaan sementara ini diharap dapat meringankan beban peniaga kecil dalam menyediakan modal pusingan sempena jualan pada bulan puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2026 dan Majlis Penyerahan Replika Cek kepada Penerima Skim TUGAS kali ke 3-2026 di Hotel Primula, di sini, semalam.

Mengulas lanjut katanya, kemudahan berkenaan diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima melalui pengurusan kewangan dan perniagaan yang sistematik.

“Meskipun perniagaan Ramadan bersifat bermusim, pengurusan yang baik mampu memberikan pulangan yang bermakna.

“Kita mahu pembiayaan yang disediakan bukan sahaja membantu peniaga menghadapi keperluan Ramadan, malah menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan mereka pada masa hadapan,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan