Jalur Gemilang
Berita :
'Tidak Ada Kompromi Lagi' - EX5 Member Bakal Dikenakan Tindakan
'Tidak Ada Kompromi Lagi' - EX5 Member Bakal Dikenakan Tindakan
Ahmad Zaeem Zainudin
1 jam yang lepas
57

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober – Kerajaan Negeri Terengganu akan memanggil penganjur EX5 Member 6.0 bagi mendapatkan penjelasan berhubung pelanggaran garis panduan yang ditetapkan dalam penganjuran acara permotoran berkenaan baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato' Razali Idris, meskipun pelanggaran garis panduan berlaku di luar tapak acara, penganjur bertanggungjawab untuk menasihati dan mengawal peserta yang menyertai program mereka.

"Dia buat program dalam trek dan benda itu (pelanggaran garis panduan) di luar (tapak acara). Tapi walau macam mana pun dia kena beritahu, dia kena kawal, dia kena bagi nasihat. 

"Sebab semua peserta masuk dalam event. Sepatutnya masa ada dalam 'event' itu kena cakap.

"Kita dah nasihat daripada awal tapi dilanggar juga dan apabila dilanggar kita kena bertindak," katanya.

Beliau berkata, penganjur EX5 Member 6.0 akan dipanggil bagi menjelaskan kejadian yang berlaku sebelum Kerajaan Negeri menentukan tindakan selanjutnya.

"Jadi untuk yang EX5 ini kita akan panggil untuk dia bagi penjelasan kepada kita kenapa kejadian sebegitu rupa," tegasnya.

Tambahnya, jika penganjur mahu meneruskan penganjuran acara berkenaan, syarat lebih ketat akan dikenakan melalui Jawatankuasa Penapisan Acara yang turut melibatkan PDRM, Akademi DUAT, Mufti dan MBKT.

"Kita akan membuat mesyuarat selepas kita jumpa dengan EX5 ini, kita akan buat satu lagi mesyuarat Jawatankuasa Penapisan, kita akan ketatkan lagi permohonan dan kita akan kuatkuasakan.

"Kita akan bagi arahan kepada semua yang terlibat. Tidak ada kompromi lagi," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pulau Redang, hari ini.

Razali menjelaskan bahawa, Kerajaan Negeri sebelum ini memberi ruang kepada penganjur menguruskan acara masing-masing kerana itu merupakan urusan perniagaan mereka

Walau bagaimanapun, kelonggaran itu masih tertakluk kepada pematuhan garis panduan yang telah ditetapkan.

Tegas beliau, Kerajaan Negeri akan kembali terlibat secara lebih langsung dalam penganjuran acara permotoran bagi memastikan pengurusan program dapat disusun dengan lebih baik.

"Kita nak terlibat sama supaya ada susunan yang baik tapi dia nak cuba (untuk urus sendiri).

"Tahun pertama nampak elok. Ini tahun kedua ini nampak macam tidak menjadi. Jadi kita kena patah balik, kerajaan kena terlibat," ujarnya.



Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan