Jalur Gemilang
Berita :
3,900 Daftar Portal Jodoh Darul Iman, 10 Pasangan Sudah Berkahwin
3,900 Daftar Portal Jodoh Darul Iman, 10 Pasangan Sudah Berkahwin
Noraini Jusoh
15 jam yang lepas
915

KUALA TERENGGANU, 9 November – Seramai 3,900 individu telah mendaftar dalam Portal Jodoh Darul Iman yang diperkenalkan Kerajaan Terengganu, dengan lebih 300 pasangan berjaya dipadankan dan 10 pasangan telah melangsungkan perkahwinan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, keberkesanan platform berkenaan turut dapat dilihat apabila pasangan yang bertemu jodoh menerusinya menyertai Program Walimatulurus Perdana 2026.

Menurutnya, program yang dianjurkan kerajaan negeri tahun ini melibatkan 193 pasangan dari seluruh Terengganu, termasuk sembilan pasangan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus sahaja, ia melibatkan 59 pasangan dengan 27 daripadanya dari Kuala Nerus manakala selebihnya dari Kuala Terengganu yang berlangsung di Dewan Kuala Nerus ini.

"Menariknya, sesi perkahwinan tahun ini ada yang berkahwin hasil daripada pertemuan menerusi Portal Jodoh Darul Iman yang kita lancarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian dan Resepsi Walimatulurus Perdana Tahun 2026 (Peringkat Negeri) di Dewan Jubli Perak, Pusat Pentadbiran Kuala Nerus.

Majlis itu disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah yang mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Maliaman berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM1.2 juta bagi menjayakan program berkenaan dalam usaha meringankan beban kewangan rakyat yang ingin mendirikan rumah tangga.

Katanya, kos mengadakan majlis perkahwinan sering menjadi antara kekangan dihadapi pasangan, khususnya mereka yang belum mempunyai kemampuan kewangan mencukupi.

"Walaupun peruntukan yang kerajaan negeri keluarkan agak besar tetapi ia amat berbaloi kerana dapat membantu rakyat.

"Rakyat kita ini kadang-kadang ada yang memikirkan nak sembelih lembu tak ada duit lagi, nak buat majlis kenduri pun tak ada duit.

"Jadi kerajaan bantu rakyat untuk mempercepatkan proses perkahwinan," katanya.

Maliaman turut memberi jaminan bahawa Program Walimatulurus Perdana akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi membolehkan lebih ramai rakyat Terengganu mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan