Jalur Gemilang
Berita :
 2,759 Anggota, 456 Aset Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut di Terengganu
2,759 Anggota, 456 Aset Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut di Terengganu
Mastura Jamal Din
8 jam yang lepas
161

KUALA TERENGGANU, 23 November - Seramai 2,759 anggota pasukan keselamatan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu dan agensi sahabat, bersama 456 aset operasi, berada dalam kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang dijangka melanda negeri ini bermula November ini hingga Mac 2027.

Ketua Polis Terengganu, DCP Dato’ Mohd Khairi Khairudin berkata, kekuatan berkenaan melibatkan 1,134 pegawai dan anggota PDRM termasuk Pegawai Awam, manakala 1,625 lagi merupakan anggota agensi sokongan yang turut disenaraikan bagi membantu pengurusan bencana.

Menurut beliau, PDRM Kontinjen Terengganu turut menyediakan 278 aset terdiri daripada pelbagai jenis kenderaan dan bot, manakala 178 aset tambahan daripada agensi sahabat bagi menyokong pelaksanaan operasi sepanjang musim tengkujuh.

“Persiapan awal ini merangkumi aspek kekuatan sumber manusia, aset operasi dan kerjasama strategik antara agensi bagi memastikan setiap tindakan dapat dilaksanakan dengan pantas dan teratur sekiranya berlaku bencana banjir.

“Kekuatan yang tersedia ini akan dimanfaatkan bagi melaksanakan pemantauan, operasi keselamatan serta misi menyelamat, khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kerjasama strategik itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Dalam pada itu, sebanyak 460 lokasi hotspot banjir telah dikenal pasti dan direkodkan di seluruh Terengganu untuk diberi perhatian serta dipantau secara berterusan sepanjang tempoh MTL.

Katanya, penyelarasan antara agensi amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan segera, selain memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan membuat persediaan awal, termasuk menyediakan beg kecemasan sekiranya diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Antara keperluan yang perlu disediakan termasuk pakaian, kit kebersihan diri, makanan berbungkus, keperluan bayi dan kanak-kanak, ubat-ubatan peribadi serta peralatan kecemasan seperti lampu suluh, bateri tambahan dan bank kuasa (power bank).

Orang ramai turut diingatkan supaya mengelakkan kawasan berisiko seperti gunung, bukit, gua, air terjun, sungai, hutan, pantai, laut dan pulau ketika keadaan cuaca tidak menentu.

Penduduk juga diminta sentiasa mengikuti perkembangan cuaca, amaran hujan lebat dan paras air sungai melalui portal rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) di https://www.met.gov.my/ serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi https://publicinfobanjir.water.gov.my/.

Mereka turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke tempat lebih selamat apabila diarahkan.

PDRM Kontinjen Terengganu akan terus memberikan komitmen sepenuhnya dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara sepanjang Monsun Timur Laut 2026/2027 dengan keselamatan nyawa sentiasa menjadi keutamaan.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan