Jalur Gemilang
Berita :
Besut Terima Tiga Cadangan Pelaburan Sektor Maritim
Besut Terima Tiga Cadangan Pelaburan Sektor Maritim
Mastura Jamal Din
4 jam yang lepas
164

KUALA TERENGGANU, 22 November - Kerajaan Terengganu menerima tiga cadangan pelaburan dalam sektor maritim di daerah Besut yang berpotensi merancakkan pembangunan ekonomi kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata tiga cadangan berkenaan melibatkan pembinaan Shipyard, Besut Harbour Town (BHT) dan Besut Support Base.

Beliau berkata setiap projek dicadangkan untuk dibangunkan di lokasi berbeza dan kerajaan negeri kini sedang meneliti setiap kertas cadangan sebelum tindakan susulan dilaksanakan, sama ada sebelum akhir tahun ini atau Januari tahun depan.

Menurutnya, antara faktor yang menjadikan Besut pilihan pelabur ialah infrastruktur benteng pemecah ombak (breakwater) yang hampir 90 peratus siap, selain kedudukan geografinya yang strategik di antara Bukit Kluang dan Bukit Bubus.

"Kewujudan breakwater itu boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan industri marin, manakala kedudukan kawasan berkenaan turut dikenal pasti pakar pelayaran sebagai sesuai untuk dijadikan pangkalan sokongan (support base) bagi aktiviti maritim.

"Selepas kita membawa pelabur melihat sendiri lokasi berkenaan, mereka mendapati kawasan itu sesuai dan bertepatan dengan keperluan aktiviti maritim," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas potensi pembangunan Besut sebagai hab marin dan industri nautika susulan minat pelabur terhadap cadangan pembangunan BHT.

Mengenai proses penilaian pelaburan, Mohd Nurkhuzaini berkata kerajaan negeri akan menjalankan penelitian terperinci terhadap kemampuan kewangan serta kepakaran teknikal syarikat yang mengemukakan cadangan.

Beliau berkata penilaian itu penting bagi memastikan pihak yang mengemukakan projek mempunyai pengalaman, pasukan teknikal dan keupayaan sebenar untuk melaksanakannya, bukannya sekadar bertindak sebagai orang tengah atau broker.

"Kita mahu berurusan secara langsung dengan pihak yang mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk melaksanakan projek. Kita tidak mahu pihak yang hanya membawa cadangan, kemudian selepas mendapat kelulusan barulah mencari pihak ketiga untuk melaksanakan projek itu.

"Melalui pembentangan, sesi soal jawab dan libat urus bersama pasukan teknikal kerajaan negeri, kita dapat menilai sama ada syarikat berkenaan benar-benar berkemampuan atau sebaliknya," katanya.

Katanya, jabatan teknikal termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Laut dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan turut dilibatkan dalam proses penilaian berkenaan.

Beliau berkata pentadbiran tanah daerah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut juga telah dilibatkan dalam penelitian awal bagi memastikan aspek berkaitan pembangunan dan kesesuaian lokasi diberikan perhatian.

Mohd Nurkhuzaini berkata sekiranya ketiga-tiga projek itu atau sebahagiannya berjaya direalisasikan, ia mampu memberikan impak positif kepada ekonomi Besut menerusi peluang pekerjaan baharu serta aktiviti ekonomi berkaitan industri maritim.

Katanya, pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut meningkatkan potensi Besut sebagai destinasi pelaburan berikutan jaringan perhubungan yang lebih baik antara Pantai Timur, Lembah Klang dan kawasan perindustrian termasuk Pelabuhan Kemaman.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan