lightning-solid
Berita :
183 Kes Keganasan Rumah Tangga Dilapor Dalam Tempoh Enam Bulan
183 Kes Keganasan Rumah Tangga Dilapor Dalam Tempoh Enam Bulan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
73

HULU TERENGGANU, 29 Julai - Kes keganasan rumah tangga di Terengganu menunjukkan trend membimbangkan apabila sebanyak 183 kes direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, jumlah itu bersamaan lebih 60 peratus daripada keseluruhan 296 kes yang dicatatkan sepanjang tahun lalu.

Menurut beliau, daripada 183 kes yang direkodkan bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, seramai 127 mangsa merupakan wanita, manakala 56 lagi ialah lelaki.

"Perkembangan itu membuktikan isu berkenaan masih serius dan memerlukan tindakan segera serta kerjasama semua pihak bagi membendung peningkatan kes.

"Statistik ini tidak boleh dipandang ringan kerana di sebalik setiap angka terdapat mangsa yang berdepan penderitaan fizikal, emosi dan mental," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Sinergi Wanita Bangkit: Tinggalkan Luka, Cipta Bahagia di Dewan Sivik Ajil, di sini hari ini.

Maliaman berkata, usaha membanteras keganasan rumah tangga tidak boleh dipikul oleh agensi kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan masyarakat dalam mengesan serta membantu mangsa mendapatkan perlindungan.
Katanya, masih ramai wanita yang memilih untuk berdiam diri kerana takut, malu atau bimbang terhadap masa depan mereka sehingga menyebabkan penderaan berlarutan.

"Langkah pertama untuk mendapatkan bantuan adalah yang paling sukar. Namun, keberanian itulah yang mampu memutuskan kitaran keganasan dan membuka ruang kepada kehidupan yang lebih selamat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Jabatan Pembangunan Wanita memperkenalkan PRISMAnita (Perantara Rujukan, Intervensi, Sokongan, Maklumat dan Advokasi untuk Wanita) di semua Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN), termasuk di Terengganu.

Menurutnya, inisiatif itu berfungsi sebagai pusat rujukan dan sokongan kepada wanita yang berdepan keganasan rumah tangga melalui khidmat nasihat, intervensi, advokasi serta penyelarasan bantuan dengan agensi berkaitan.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak menutup mata terhadap kejadian keganasan rumah tangga, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi memastikan mangsa menerima bantuan dan perlindungan dengan segera.


Tag :

Artikel Berkaitan