Terengganu Sedia Terima Kehadiran Pelancong Tahun 2027
Mohd Irsyadi Abu Bakar
56 minit yang lepas
52
KUANTAN, 6 November - Kurang dua bulan lagi menjelang tahun baru, apakah Terengganu telah bersedia menerima kehadiran pelancong pada Tahun Melawat Terengganu 2027?
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato' Razali Idris, sebenarnya Terengganu telah mencapai hampir 90 peratus persediaan untuk Tahun Melawat Terengganu 2027.
"Cuma, ada sedikit lagi berkaitan hotel, acara dan infrastruktur, setakat yang kita mampu kita telah bersedia menerima kehadiran 15 juta pelancong tahun hadapan.

Kita mendapat sambutan yang luar biasa, contohnya macam 'trip' kita ke selatan, kita pergi ke Johor yang dirasakan luar biasa kerana ramai pemain industri pelancongan dari Singapura datang buat 'engagements' dengan kita," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pra pelancaran Visit Truly Terengganu 2027 sempena World Islamic Tourism Conference and Travel Mart 2026 (WITC) di sini, semalam.

Razali memaklumkan, setakat ini Terengganu mengekalkan enam kluster sebagai tarikan utama pelancongan negeri iaitu tarikan berpusat di Pusat Bandar, Pulau dan Pantai, Seni Warisan dan Budaya, Alam Semulajadi, Kenyir Geopark dan Pelancongan Islam.
"Satu yang saya hendak tekankan di sini, pelancongan islamik memberi satu kelebihan baru kepada Terengganu.
"Kita juga tidak menafikan wujudnya pengunjung yang berulang, kerana para pelancong yang pernah ke Terengganu dan memahami pendekatan yang diterapkan, pastinya akan kembali lagi," katanya.
