Jalur Gemilang
Berita :
RM15 Juta Bina Rumah Pam, Pintu Air Atasi Banjir Sungai Takir
RM15 Juta Bina Rumah Pam, Pintu Air Atasi Banjir Sungai Takir
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
59

KUALA TERENGGANU, 6 November – Kira-kira 3,000 penduduk di sekitar kawasan tadahan Sungai Takir, Kuala Nerus dijangka mendapat manfaat daripada projek pembinaan rumah pam dan pintu air pasang surut bernilai RM15 juta bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.

Projek yang mendapat kelulusan peruntukan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) itu dijangka membantu menangani masalah banjir yang sering berlaku, khususnya ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, projek berkenaan dilaksanakan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Menurutnya, kawasan tadahan Sungai Takir meliputi hampir 200 hektar dengan beberapa lokasi dikenal pasti berisiko banjir, antaranya Taman Lembah Harapan, Taman Tengku Ismail, Taman Permint Perdana, Kampung Hulu Takir dan Kampung Seberang Takir.

"Keadaan menjadi lebih kritikal apabila hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar sehingga menyebabkan paras air Sungai Terengganu meningkat dan menyukarkan pelepasan air dari Sungai Takir secara graviti.

"Situasi itu meningkatkan risiko limpahan air ke kawasan penempatan dan menyebabkan penduduk terdedah kepada kejadian banjir," katanya ketika dihubungi.

Hanafiah berkata, projek tersebut melibatkan pembinaan rumah pam dan pintu air, pemasangan sistem pam berkapasiti tinggi serta sistem kawalan automasi dan SCADA.

Katanya, kemudahan bekalan elektrik dan infrastruktur sokongan turut disediakan bagi memastikan sistem kawalan banjir itu dapat beroperasi dengan lancar.

"Melalui sistem ini, lebihan air di kawasan tadahan akan dipam keluar ketika pintu air ditutup bagi menghalang kemasukan air pasang.

"Keupayaan sistem ini dijangka mempercepatkan proses pelepasan air, sekali gus mengurangkan risiko serta tempoh kejadian banjir di kawasan terlibat.

"Usaha ini bukan sahaja melindungi kediaman dan harta benda penduduk, malah turut memastikan keselamatan infrastruktur awam serta kesejahteraan masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja awalan projek itu dijangka bermula pada 2027 dengan pelaksanaannya dikendalikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu.

Dalam pada itu, Hanafiah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, khususnya PETRA, atas kelulusan peruntukan RM15 juta tersebut.

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan JPS amat penting bagi memastikan projek tebatan banjir dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi manfaat maksimum kepada penduduk.

Katanya, usaha berkenaan mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh langkah mitigasi banjir, khususnya di kawasan yang sering berdepan risiko banjir ketika musim tengkujuh.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan