Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Mahu Perkukuh Kerjasama Strategik Dengan MOTAC, Tourism Malaysia – Razali
Terengganu Mahu Perkukuh Kerjasama Strategik Dengan MOTAC, Tourism Malaysia – Razali
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
20 jam yang lepas
38

KUANTAN, 5 November – Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia menerusi lima bidang utama bagi meningkatkan daya saing industri pelancongan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, kerjasama itu merangkumi peluasan promosi destinasi Terengganu di peringkat antarabangsa, promosi bersama sempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2027 serta peningkatan akses penerbangan ke negeri itu.

Menurutnya, usaha berkenaan turut memberi tumpuan kepada peluasan pasaran pelancong antarabangsa, khususnya bagi produk pelancongan pulau, marin dan ekopelancongan, selain pembangunan produk berkualiti yang mampu memberikan manfaat langsung kepada pengusaha serta komuniti tempatan.

“Saya percaya, melalui sokongan dan kerjasama erat semua pihak, usaha ini bukan sahaja mampu memperkukuh kedudukan Terengganu sebagai destinasi pelancongan pilihan, malah turut menyumbang kepada kejayaan agenda pelancongan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Program Truly Terengganu Tour Kempen Tahun Melawat Terengganu 2027 di Saloma Bistro, semalam .

Mengulas prestasi sektor pelancongan negeri, Razali berkata Terengganu merekodkan 15.5 juta pelawat domestik dengan nilai terimaan pelancongan sebanyak RM5.8 bilion pada 2025.

Dalam tempoh sama, seramai 353,348 pengunjung direkodkan ke Taman Laut, manakala purata tempoh penginapan pelancong di negeri itu mencapai 2.76 malam berbanding purata nasional sebanyak 2.56 malam.

Terengganu turut mempunyai jajaran pantai sepanjang 244 kilometer dari Kemaman hingga Besut, selain tujuh pulau peranginan utama dan 128 tapak selaman yang menjadi tarikan pelancong serta penyelam antarabangsa.

Sementara itu, bagi kempen Visit Truly Terengganu 2027, sebanyak 17 acara utama dan 137 acara sampingan dirancang sepanjang tahun berkenaan.

Antara acara utama ialah Program Pelita Raya Terengganu pada Februari, Pelancaran Musim Candat Sotong Terengganu pada April dan Mei serta Karnival Pantai Terengganu pada September 2027.

Program jelajah selama empat hari tiga malam itu melibatkan 55 orang delegasi Kerajaan Negeri Terengganu, termasuk 24 penunggang motosikal berkuasa tinggi, pemain industri pelancongan, pegawai Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta pasukan persembahan kebudayaan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan