lightning-solid
Berita :
200 Pelajar Sertai Blue School Malaysia Marine Camp 2026 Perkasa Literasi Lautan
200 Pelajar Sertai Blue School Malaysia Marine Camp 2026 Perkasa Literasi Lautan
Mastura Jamal Din
1 jam yang lepas
44

KUALA NERUS, 6 Ogos - Seramai 200 pelajar dari sekolah-sekolah di Terengganu menyertai Blue School Malaysia Marine Camp 2026 anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi meningkatkan literasi lautan dan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan ekosistem marin.

Program yang diterajui UMT selaku Penyelaras Kebangsaan Blue School Malaysia di bawah UNESCO-IOC Blue School Global Network itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai ekosistem marin, biodiversiti, pemuliharaan sumber laut serta peranan masyarakat dalam menyokong pembangunan Ekonomi Biru negara.

Pengarah Program Blue School Malaysia Marine Camp 2026 yang juga Penyelaras Kebangsaan Blue School Malaysia, Dr Afiq Durrani Mohd Fahmi berkata, program berkenaan merupakan platform strategik untuk mendekatkan generasi muda dengan ilmu kelautan menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

"Blue School bukan sekadar memberi pengetahuan berkaitan lautan, sebaliknya membentuk kesedaran serta rasa tanggungjawab dalam kalangan murid terhadap kelestarian sumber marin.

"Apabila mereka turun ke lapangan, memerhati ekosistem pantai, mengenali biodiversiti marin dan memahami cabaran sebenar yang dihadapi lautan, mereka bukan sahaja memperoleh ilmu, malah membina rasa tanggungjawab terhadap pemeliharaan sumber laut," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, usaha membudayakan literasi lautan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang mempunyai hubungan rapat dengan laut dari aspek ekonomi, keselamatan makanan, biodiversiti dan kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, Blue School menjadi platform yang menghubungkan pendidikan, penyelidikan, komuniti dan tindakan sebenar bagi melahirkan murid yang bukan sahaja memahami kepentingan laut, malah berupaya menjadi ejen perubahan dalam menyokong agenda kelestarian serta pembangunan Ekonomi Biru negara.

Blue School Malaysia merupakan sebahagian daripada inisiatif UNESCO-IOC melalui Blue School Global Network yang menggalakkan institusi pendidikan mengintegrasikan literasi lautan dalam pembelajaran menerusi pendekatan rentas disiplin, aktiviti lapangan dan penglibatan komuniti.

Sebagai Universiti Fokus Marin, UMT turut memperkukuh agenda berkenaan melalui kepakaran dalam bidang sains marin, oseanografi, biodiversiti, perikanan dan konservasi.


Tag :

Artikel Berkaitan