Jalur Gemilang
Berita :
280 Warga Kijal Semarak Hari Malaysia, Perpaduan Disubur Menerusi Budaya Membaca
280 Warga Kijal Semarak Hari Malaysia, Perpaduan Disubur Menerusi Budaya Membaca
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
5 jam yang lepas
112

KEMAMAN, 20 September – Semangat patriotisme terhadap kepelbagaian budaya serta perpaduan dalam kalangan masyarakat terus diperkukuh menerusi Program Menyemai Cinta, Menghargai Budaya, Memperkukuh Perpaduan Sempena Hari Malaysia 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Razali Idris berkata, budaya membaca merupakan antara asas penting dalam membentuk masyarakat berilmu selain membantu generasi muda memahami perubahan dunia yang semakin pesat.

“Membaca mengajar kita berfikir dan saya juga membaca apa yang berlaku pada esok hari.

“Tambahan pula pada hari ini, generasi sekarang didedahkan dengan teknologi AI yang tidak menggunakan manusia untuk menyampaikan maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Program Menyemai Cinta, Menghargai Budaya, Memperkukuh Perpaduan Sempena Hari Malaysia 2026 di Perpustakaan Desa PNM Kampung Darat Kijal, baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perpustakaan Desa (JKPD) Kampung Darat Kijal, kakitangan Jawatankuasa Perpustakaan Desa (JKPD) Kampung Darat Kijal, peserta, ibu bapa serta komuniti setempat yang bersama-sama memberikan sokongan dalam menjayakan program berkenaan.

Tambahnya, program membaca di DUN Kijal perlu melibatkan masyarakat daripada pelbagai kaum dan tidak hanya memberi fokus kepada masyarakat Melayu semata-mata, selaras dengan kepelbagaian masyarakat di negara ini.

“Saya fikir program ini sepatutnya fokus kepada semua kaum di Kijal, tidak kiralah Melayu, Cina, atau India sekalipun.

“Perpaduan itu perlu bermula daripada komuniti dan program seperti ini menjadi ruang untuk kita bersama-sama mengenali budaya serta membina kefahaman antara satu sama lain,” katanya.

Program yang dianjurkan Perpustakaan Desa PNM Kampung Darat Kijal itu menghimpunkan kira-kira 280 pengunjung daripada komuniti setempat dengan pelbagai aktiviti berkonsepkan patriotisme, kebudayaan dan pembudayaan ilmu.

Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk Pertandingan Mewarna Malaysia, Pertandingan Susun & Cantum: Citra Malaysia serta Pertandingan Busana Malaysia yang memberi peluang kepada peserta mengenali dan menghayati kepelbagaian budaya serta identiti negara.




Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan