KUALA NERUS, 30 April - Seramai 45 bakal jemaah haji dari kawasan Seberang Takir diraikan dalam satu majlis khas sebagai tanda penghargaan dan doa selamat sebelum mereka berangkat ke Tanah Suci.
Majlis berkenaan diadakan bagi memberi sokongan moral serta suntikan semangat kepada para jemaah agar dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna.
Turut hadir ahli keluarga dan masyarakat setempat yang bersama-sama mendoakan kesejahteraan serta kelancaran urusan para bakal haji sepanjang berada di Tanah Suci.
Salah seorang bakal jemaah, Azman Abdul Wahab meluahkan rasa syukur kerana sekali lagi diberi peluang menunaikan ibadah haji.
Menurutnya, beliau pernah menunaikan ibadah tersebut pada tahun 1999 ketika berusia 30 tahun, namun mengakui ketika itu persediaan ilmu masih belum mencukupi.
“Kali ini saya lebih bersedia. Ujian di sana memang banyak, antaranya kesabaran, keadaan sekeliling dan urusan pengangkutan perlu diambil kira.
“Lebih-lebih lagi selepas saya mengalami masalah kesihatan tahun lalu,” katanya ketika ditemui.
Azman berkata, setiap bakal jemaah perlu memiliki kekuatan mental dan fizikal yang baik kerana perjalanan haji bukan sahaja menuntut persediaan rohani, tetapi juga ketabahan dalam menghadapi pelbagai keadaan.
“Kita kena kental. Soal hidup dan mati boleh berlaku di mana-mana, bila-bila masa,” katanya.
Beliau berharap semua jemaah haji dapat menunaikan ibadah dengan selamat serta memperoleh keampunan daripada Allah SWT.
Katanya, kepulangan dari Tanah Suci nanti juga diharapkan membawa perubahan ke arah menjadi insan yang lebih baik, selain memastikan segala ibadah yang dilakukan tidak menjadi sia-sia.
Azman turut memohon doa daripada semua pihak agar urusan beliau dan jemaah lain dipermudahkan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat berharap semua bakal jemaah dikurniakan haji yang mabrur.
Beliau turut mendoakan agar para jemaah diberikan kesihatan yang baik sepanjang mengerjakan ibadah haji.
“Gunakan peluang yang ada untuk beribadat sebanyak-banyaknya dan mendoakan kesejahteraan diri serta keluarga,” katanya.
Tag :