lightning-solid
Berita :
58 Penyelam Angkat 200kg Sampah, Selamatkan Terumbu Karang Redang
58 Penyelam Angkat 200kg Sampah, Selamatkan Terumbu Karang Redang
Hidayah Azlin
3 jam yang lepas
127

KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Lebih 200 kilogram sampah dan pukat hanyut berjaya dikeluarkan dari dasar laut menerusi Program ‘Reef Care’ di Taman Laut Pulau Redang, baru-baru ini.

Program berkenaan menghimpunkan 58 penyelam daripada pelbagai agensi kerajaan serta kelab penyelaman dari dalam dan luar Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, operasi itu turut berjaya mengeluarkan 112 ekor tapak sulaiman pemakan karang atau ‘Crown-of-Thorns Starfish’ (COTS) dari kawasan terumbu karang.

Menurutnya, populasi COTS yang berlebihan boleh menyebabkan kemusnahan terumbu karang dan mengancam keseimbangan ekosistem marin.

“Spesies ini merupakan pemakan karang. Oleh sebab itu, ia perlu dikeluarkan dan dilupuskan secara terkawal bagi menyelamatkan ekosistem marin,” katanya.

Antara agensi yang menyertai program itu ialah Pasukan Gerakan Marin (PGM), Maritim Terengganu, Jabatan Perikanan Kelantan, Jabatan Pertanian Perak, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Program itu turut mendapat sokongan Persatuan Penyelam Malaysia, Persatuan Penyelam Terengganu dan Black Eye Scuba dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu.

Azman merakamkan penghargaan kepada semua agensi, kelab penyelaman dan sukarelawan yang terlibat dalam usaha memelihara khazanah laut Terengganu untuk generasi akan datang.



Tag :

Artikel Berkaitan