KUALA TERENGGANU, 11 November – Ketika industri batik semakin berkembang dengan penggunaan teknologi moden, sebuah perusahaan batik di Kampung Seberang Takir di sini tetap setia mempertahankan kaedah tradisional yang diwarisi sejak kira-kira 70 tahun lalu.
Bagi keluarga pengasas Batik Wan Azhar, keaslian corak dan mutu kain bukan sekadar menjadi tarikan pelanggan, sebaliknya merupakan warisan yang perlu dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.
Pewaris perusahaan berkenaan, Wan Mohd Hasnol Wan Azhar, 45, berkata, perniagaan yang diasaskan oleh Allahyarham bapanya, Wan Azhar, itu masih mengekalkan kaedah terapan blok secara tradisional termasuk proses pewarnaan bagi memastikan keaslian batik Terengganu terus terpelihara.
Menurutnya, dia bersama empat lagi adik-beradik sudah didedahkan dengan kemahiran menghasilkan batik sejak di bangku sekolah apabila mempelajari sendiri selok-belok perusahaan itu daripada bapa mereka.
“Alhamdulillah, batik Terengganu masih menjadi pilihan kerana cara pembuatannya mengekalkan kaedah tradisional termasuk penggunaan warna dan proses menerapkan corak pada kain.
“Kami adik-beradik cuba menyambung apa yang telah dirintis oleh ayah supaya warisan ini tidak terhenti begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman di sini, baru-baru ini.

Katanya, proses penerapan blok dilakukan sehingga tiga kali bagi mendapatkan hasil warna dan corak yang dikehendaki.
Walaupun mendapat permintaan menggalakkan, Hasnol berkata, pihaknya hanya menghasilkan kira-kira 150 helai batik seminggu atau sehingga 600 helai sebulan bagi memastikan mutu setiap helaian tidak terjejas.
“Biasanya kain yang baru siap memang sudah ada orang tempah. Jadi, kita tidak simpan lama kerana sentiasa ada yang membelinya.
“Kalau ikutkan, jumlah pengeluaran sekarang memang tidak mampu memenuhi permintaan.
“Antara keunikan lain, kami masih menggunakan blok lama yang ditempah khas bagi mengekalkan hasil dan corak batik seperti diwarisi daripada ayah,” jelasnya.
Menurut Hasnol, Batik Wan Azhar turut mempunyai pelanggan dari luar Terengganu termasuk Kota Bharu, Kelantan dan Indonesia, selain menerima kunjungan pelancong asing yang mahu melihat sendiri proses penghasilan batik tradisional.
Bagaimanapun, katanya, pengedaran produk di Pasar Payang dihadkan kepada sekitar dua hingga tiga kedai sahaja bagi membolehkan kawalan kualiti dilakukan dengan lebih baik.
Sementara itu, kakaknya, Wan Norafidah Wan Azhar, 48, berkata, perusahaan keluarga mereka mempunyai sejarah tersendiri apabila Allahyarham bapanya mula mempelajari kemahiran menghasilkan batik daripada bapa saudaranya.

Katanya, batik Terengganu mempunyai identiti tersendiri terutama dari segi penggunaan kain kapas tulen serta corak bermotifkan bunga yang menjadi antara keistimewaan seni warisan negeri itu.
“Batik Terengganu menggunakan kain kapas tulen atau pure cotton yang selesa dipakai, sejuk dan mudah menyerap air.
“Kalau dibandingkan dengan batik yang dihasilkan menggunakan mesin, terdapat perbezaan dari segi bahan dan kualiti kain.
“Dari segi corak pula, batik Terengganu lebih banyak mengetengahkan motif bunga, manakala batik Indonesia mempunyai kecenderungan motif yang berbeza.
“Inilah antara identiti yang membezakan batik kita dengan hasil batik dari tempat lain,” ujarnya.

Norafidah berkata, kemahiran menggunakan blok juga memainkan peranan penting dalam memastikan keindahan batik terap dapat dikekalkan.
Jelasnya, setiap blok perlu diterapkan pada kedudukan yang tepat kerana kesilapan ketika proses berkenaan boleh menjejaskan kekemasan corak yang dihasilkan.
Tambahnya, perusahaan itu turut menerima kunjungan pelancong dari luar negara termasuk Thailand dan negara Barat yang berminat mengenali seni pembuatan batik secara tradisional.
Menurut Norafidah, sambutan tersebut membuktikan seni warisan berkenaan masih mempunyai daya tarikan tersendiri meskipun berdepan perubahan teknologi dalam industri tekstil.
Beliau berharap perusahaan yang diwarisi daripada arwah bapanya itu dapat diteruskan oleh generasi seterusnya supaya kemahiran menghasilkan batik secara tradisional tidak hilang ditelan zaman.