Jalur Gemilang
Berita :
ECRL Bakal Pacu Transformasi Kuala Terengganu Dalam Tempoh 10 Tahun
ECRL Bakal Pacu Transformasi Kuala Terengganu Dalam Tempoh 10 Tahun
Rohayati Ripin
51 minit yang lepas
43

KUALA TERENGGANU, 10 November – Kuala Terengganu dijangka mengalami perubahan besar dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi dan pembangunan bandar.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, transformasi itu akan dilaksanakan berteraskan Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) yang memberi penekanan kepada pembangunan bandar pintar, mampan serta berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Menurutnya, kedua-dua dasar berkenaan bakal memperkukuh kedudukan Kuala Terengganu sebagai hab logistik dan perhubungan, selain membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, ekonomi biru dan aktiviti komersial.

“Peluncuran RFN5 dan DPN3 akan mentransformasikan Kuala Terengganu menjadi sebuah bandar pesisir pantai yang berdaya tahan iklim, pintar dan mampan.

“Pembangunan ini dipacu oleh pengukuhan peranan Kuala Terengganu sebagai hab logistik dan perhubungan utama menerusi projek ECRL,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Lizan berkata, perancangan pembangunan bandar itu akan memberi tumpuan kepada empat aspek utama merangkumi ekonomi, infrastruktur, perumahan dan peningkatan kualiti hidup penduduk.

Dari sudut ekonomi, katanya, pembangunan sepanjang koridor ECRL dijangka merangsang pertumbuhan aktiviti komersial moden, selain memperkukuh potensi pelancongan pesisir air dan ekonomi biru.

Beliau berkata, aspek infrastruktur pula akan menumpukan kepada pembangunan sistem pengangkutan bersepadu serta pengukuhan langkah perlindungan kawasan pantai daripada ancaman hakisan dan bencana.

“Perancangan akan memberi penekanan kepada pengangkutan bersepadu dan pembinaan pertahanan pantai yang lebih berdaya tahan terhadap bencana serta hakisan.

“Perancangan perumahan pula menggalakkan penyediaan rumah mampu milik berkonsepkan bandar pintar, mampan dan rendah karbon,” jelasnya.

Dalam masa sama, Lizan berkata, kesejahteraan penduduk turut menjadi keutamaan melalui penyediaan kemudahan awam digital, penambahan kawasan hijau serta usaha mengekalkan identiti dan warisan tempatan.

Katanya, pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi perlu bergerak seiring dengan peningkatan kualiti hidup masyarakat agar kemajuan bandar dapat dinikmati secara menyeluruh.

Beliau berkata, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan Kuala Terengganu bukan sahaja berkembang sebagai pusat ekonomi dan perhubungan, malah kekal sebagai bandar pesisir pantai yang mampan, selamat dan selesa untuk didiami.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan