Jalur Gemilang
Berita :
8,000 Hektar Tanah Terbiar, Terengganu Bangunkan 100 Hektar Setahun
8,000 Hektar Tanah Terbiar, Terengganu Bangunkan 100 Hektar Setahun
Rohayati Ripin
07 Nov 26
136

SETIU, 7 November – Kerajaan Terengganu hanya berjaya membangunkan secara purata kira-kira 100 hektar tanah pertanian terbiar setahun daripada anggaran 8,000 hektar yang dikenal pasti di negeri itu, berikutan pelbagai kekangan berkaitan pemilikan tanah dan kedudukan pemilik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, antara masalah utama ialah tanah mempunyai terlalu ramai penama, pemilik menetap jauh di luar negeri dan terdapat tanah yang gagal dikenal pasti pemiliknya.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan usaha mengaktifkan semula tanah terbiar tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat kerana setiap kawasan mempunyai permasalahan dan punca berbeza.

"Biasanya tanah terbiar ini ada beberapa punca. Ada tanah mempunyai banyak nama sehingga tidak diketahui siapa yang boleh mengusahakannya, manakala pemilik pula berada jauh seperti di Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

"Ada juga tanah yang kita tidak dapat menemukan pemiliknya. Jadi, kita perlu mengenal pasti punca terlebih dahulu sebelum membangunkannya secara berperingkat," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Walkabout  melalui Keberkesanan Teknologi Biostimulan Qarbogrow di Bukit Jeruk.

Tambahnya , kerajaan negeri menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk kos pembukaan tanah, pembinaan sistem pengairan dan pagar, bantuan input pertanian serta khidmat nasihat kepada pengusaha.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan Tabung Bencana dan Skim Pinjaman Modal Tani bagi membantu pengusaha menghadapi masalah kerugian akibat bencana serta keperluan modal.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan