Jalur Gemilang
Berita :
Abdul 'Alim Buru Gelaran Juara, Mahu Hadiahkan Kejayaan Buat Arwah Nenek
Abdul 'Alim Buru Gelaran Juara, Mahu Hadiahkan Kejayaan Buat Arwah Nenek
Adli Mohamad
1 jam yang lepas
106

KUALA TERENGGANU, 25 September – Lebih dua dekad konsisten menyertai tilawah al-Quran sejak 2004, Abdul 'Alim Zakaria, 40, tidak pernah memadam impian untuk melangkah lebih jauh dalam arena berkenaan.

Kejayaan muncul johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu tahun ini mahu dijadikan pembakar semangat untuk memburu kejuaraan di peringkat negeri Terengganu.

Lebih bermakna, Abdul 'Alim menyimpan hasrat untuk menghadiahkan kejayaan itu kepada arwah neneknya, Sarifah Embong, insan pertama yang membimbingnya mengenali bacaan al-Quran dan taranum sejak berusia lima tahun.

“Di peringkat negeri memang menjadi sasaran saya sejak dahulu. Saya hendak hadiahkan kejayaan sebagai johan itu kepada arwah nenek yang tidak pernah jemu melatih dan mengajar saya taranum sejak kecil, ketika berumur lima atau enam tahun.

“Itulah hadiah istimewa yang saya ingin berikan. Sasarannya begitulah jika ada rezeki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak UPDI selepas dinobatkan sebagai johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Kampung Undang, di sini, semalam.

Kemenangan tersebut membolehkan Abdul 'Alim membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Mengulas lanjut, anak kedua daripada sembilan beradik itu menyifatkan kejayaan kembali bergelar juara tahun ini sebagai satu rezeki yang amat besar selepas pernah mencatat pencapaian sama lebih sedekad lalu.

Abdul 'Alim pernah muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu pada 2012 sebelum menjuarai pertandingan sama bagi daerah Kuala Nerus, yang juga daerah kelahirannya, pada 2017.

“Saya telah menyertai Tilawah al-Quran sejak 2004 lagi. Alhamdulillah, ada rezeki untuk kembali menjadi juara.

“Saya pernah mendapat johan bagi daerah Kuala Terengganu pada 2012, seterusnya bagi daerah Kuala Nerus pada 2017 dan tahun ini sekali lagi diberikan rezeki untuk kembali menjuarainya,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul 'Alim melihat penyertaan golongan muda yang semakin ramai dalam majlis tilawah sebagai perkembangan positif terhadap masa depan pengajian dan seni bacaan al-Quran di Terengganu.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan memperlihatkan bahawa kita di Terengganu tidak ketandusan pelapis serta sentiasa melahirkan qari dan qariah untuk ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Qariah Anisah Mohd Hanifah, 20, turut membuktikan minat terhadap al-Quran terus subur dalam kalangan generasi muda apabila muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kuala Terengganu bagi tahun kedua berturut-turut dalam penyertaan kali ketiganya.

Pelajar semester enam Diploma Syariah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, kejayaan tersebut pada mulanya sukar dipercayai selepas penyertaan pertamanya hanya membuahkan tempat kedua sebelum berjaya memperbaiki pencapaian dalam dua penyertaan berikutnya.

“Saya rasa seperti tidak percaya dapat juara. Rasanya saya masih lagi tidak mampu untuk sampai ke tahap ini, namun ini merupakan rezeki yang sangat saya syukuri,” ujarnya.

Anisah yang merupakan anak kelima daripada enam beradik berkata, kejayaan itu didedikasikan kepada kedua-dua ibu bapanya yang sejak awal menjadi pencetus minatnya terhadap al-Quran apabila sering membawanya menghadiri majlis serta mendengar bacaan al-Quran.

Beliau turut berharap kejayaan tersebut dapat menjadi dorongan kepada lebih ramai generasi muda untuk mendekati dan mempelajari al-Quran.

Menurutnya, penglibatan dalam bidang al-Quran tidak semestinya berakhir dengan pertandingan atau taranum semata-mata, sebaliknya perkara lebih utama adalah membina hubungan berterusan dengan al-Quran dalam kehidupan.

“Saya mengharapkan semoga generasi muda terus bersemangat dalam mempelajari al-Quran walaupun bukan dalam taranum.

“Bagi peringkat negeri, insya-Allah saya berharap dapat menjuarai Tilawah al-Quran pada kali ini,” jelasnya.

Anisah turut menerima hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala pusingan.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan