Jalur Gemilang
Berita :
Kapasiti Sungai, Saliran Ditingkat Elak Risiko Banjir
Kapasiti Sungai, Saliran Ditingkat Elak Risiko Banjir
Rohayati Ripin
2 jam yang lepas
117

KUALA TERENGGANU, 10 November – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu memberi tumpuan kepada keupayaan sungai dan sistem saliran menampung aliran air ketika hujan lebat sebagai antara langkah utama mengurangkan risiko banjir menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027.

Pengarah JPS Terengganu, Ir. Ts. Gs. Osman Abdullah berkata, usaha menangani masalah berkenaan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan penilaian teknikal, tahap risiko banjir dan keperluan kawasan terlibat.

Menurutnya, bagi langkah jangka pendek, keutamaan diberikan kepada kerja penyelenggaraan sungai dan sistem saliran, pembersihan halangan aliran air serta pemeriksaan struktur berkaitan.

Katanya, penyelesaian segera atau quick win turut dipertimbangkan mengikut keperluan dan keutamaan setempat bagi memastikan aliran air lebih lancar.

"Bagi jangka panjang, JPS mengenal pasti keperluan penambahbaikan melalui penilaian teknikal dan kajian berkaitan, termasuk cadangan projek tebatan banjir serta peningkatan kapasiti sistem saliran dan sungai.

"Pemilihan kawasan keutamaan dibuat berdasarkan rekod kejadian banjir, keadaan sistem saliran dan sungai serta tahap risiko terhadap penduduk dan harta benda," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Mengulas persediaan menghadapi MTL 2026/2027, Osman berkata, rekod taburan hujan antara Oktober hingga Disember menjadi antara maklumat penting dalam merancang kesiapsiagaan jabatan menghadapi musim tengkujuh.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa strategi operasi JPS tidak bergantung kepada rekod hujan semata-mata.

Sebaliknya, faktor lain termasuk ramalan cuaca semasa, paras air sungai, risiko banjir dan keadaan setempat turut diambil kira sebelum tindakan dilaksanakan.

Sehubungan itu, JPS mempergiat pemantauan hujan dan paras air sungai selain memberi perhatian kepada pemeriksaan serta penyelenggaraan sistem saliran dan struktur kawalan banjir.

Kesiapsiagaan pam bergerak turut menjadi antara keutamaan bagi memastikan peralatan berkenaan dapat digunakan apabila diperlukan.

Osman berkata, pemantauan dan tindakan di lapangan akan terus diselaraskan berdasarkan keadaan semasa, khususnya sekiranya berlaku perubahan cuaca atau peningkatan risiko banjir.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan