Jalur Gemilang
Berita :
ADUN Jerteh Saran Pelaburan Dalam Industri Filem
ADUN Jerteh Saran Pelaburan Dalam Industri Filem
Ahmad Zaeem Zainudin
16 jam yang lepas
132

KUALA TERENGGANU, 17 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh menyarankan pelaburan dalam industri perfileman sebagai pendekatan pendigitalan untuk mempromosikan keindahan serta warisan sejarah Terengganu.

ADUN Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor berkata, penerbitan filem dengan kerjasama syarikat produksi mampu menjadi medium promosi berkesan dalam memperkenalkan destinasi pelancongan negeri kepada masyarakat luar.

Beliau mengambil contoh kejayaan filem Winter Sonata yang menjadikan Pulau Jeju, Korea Selatan sebagai antara destinasi pelancongan terkenal selepas keindahan pulau berkenaan diketengahkan menerusi karya tersebut.

"Antara cara untuk menggerakkan keghairahan dan keterujaan untuk melancong ke Terengganu ialah Kerajaan Negeri mesti melabur sedikit perbelanjaan untuk membuat filem dengan kerjasama syarikat-syarikat pengeluar filem.

"Kalau tahun 2002 bagaimana filem Winter Sonata, filem ini di Pulau Jeju, akhirnya Pulau Jeju menjadi tempat tarikan pelancong antarabangsa dan disebut filem Winter Sonata ini membuka mata dunia kepada keindahan-keindahan dan kelestarian Korea Selatan. Pelancong-pelancong datang berbondong-bondong ke Korea Selatan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2027 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurutnya lagi, peranan itu juga boleh dipertimbangkan melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebagaimana yang dilakukan syarikat minyak dan gas Indonesia, Pertamina dalam penerbitan filem Laskar Pelangi.

Katanya, Terengganu berpotensi menghasilkan filem berasaskan sejarah dan perjuangan tokoh tempatan seperti Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong serta peristiwa Perang Padang Kachung 1928 dalam memperkenalkan sejarah dan lokasi menarik dalam negeri melalui medium tersebut.

"Jadi bayangkan kalau kita peruntukkan wang untuk buat satu filem mengenai tokoh sejarah kita, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, atau sejarah tentang Perang Padang Kachung 1928.

"Tengok sungai-sungai di Terengganu yang cantik, yang menarik, seharusnya akan menarik pelancong-pelancong luar dan domestik untuk datang ke negeri Terengganu," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr. Riduan turut mencadangkan supaya kerajaan memberikan perhatian kepada usaha memulihara dan menaik taraf lokasi bersejarah di negeri ini bagi menjadikannya lebih menarik sebagai produk pelancongan.

Antara lokasi yang disebut termasuk Rumah Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong di Beladau, istana lama di Kampung Raja, Besut, makam Tok Gajah di Hulu Terengganu serta makam Mat Kilau di Pasir Raja, Hulu Dungun.

Beliau berkata, usaha pemeliharaan tapak bersejarah perlu diberi perhatian sebagaimana yang dilaksanakan di negara lain, termasuk Turkiye yang berjaya menjadikan warisan sejarah sebagai antara tarikan pelancongan.

"Jerteh melihat antara usaha untuk kita menggerakkan pelancongan ini ialah kita membaiki institusi pelancongan sejarah yang agak terkebelakang berbanding dengan tempat-tempat lain," katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan