lightning-solid
Berita :
Ayuh Jumpa Rory, Bima dan DB di Zoo Kemaman
Ayuh Jumpa Rory, Bima dan DB di Zoo Kemaman
Mohd Irsyadi Abu Bakar
18 jam yang lepas
82

KEMAMAN, 26 Julai- Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman melepaskan tiga ekor anak Harimau Bengal Putih ke ruang pameran buat tatapan pengunjung, semalam.

Anak-anak harimau yang diberi nama DB, Rory dan Bima itu dilahirkan di Zoo Kemaman awal tahun ini dan pertama kali membuat 'debut' di khalayak umum.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris, kelahiran kesemua anak harimau yang berusia empat bulan disifatkan sebagai sesuatu yang istimewa.

"Ini merupakan spesies yang agak terancam dengan kadar kelahirannya 1 per 10,000 ekor. 

"Kebiasaannya, harimau ini melahirkan hingga dua ekor anak sahaja (bagi satu kelahiran), tetapi kali ini kita dapat tiga ekor dan jantan semuanya.

"Saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada terutamanya Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan para penjaga yang mesra dengan harimau ini.

"Zoo Kemaman ini sebenarnya agak tenggelam sedikit tapi dengan adanya harimau ini saya yakin ia akan ada lonjakan barulah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan tersebut.
Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Yang Dipertua MPK, Zulwislan Awang dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat dan mantan senator, Che Alias Hamid.

Buat pengunjung yang ingin hadir menyaksikan keletah anak-anak harimau ini, Zoo Kemaman mengenakan bayaran sebanyak RM15 bagi pengunjung dewasa berusia 12 tahun ke atas dan RM10 bagi kanak-kanak berusia 5-12 tahun.

Manakala, tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak berusia bawah empat tahun.


Tag :

Artikel Berkaitan