Jalur Gemilang
Berita :
Banjir Kilat Dun Ladang , Penyelenggaraan Saliran Perlu Diperkasa
Banjir Kilat Dun Ladang , Penyelenggaraan Saliran Perlu Diperkasa
Mohamad Farhan Anam
17 jam yang lepas
78

KUALA TERENGGANU – Isu kejadian banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, khususnya di laluan utama sekitar Kuala Terengganu termasuk laluan menuju ke pusat pentadbiran negeri, Wisma Darul Iman, sekali lagi dibangkitkan oleh YB Hajah Zuraida Md Noor dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

Beliau berkata, kejadian banjir kilat bukan sahaja menjejaskan kehidupan penduduk setempat, malah turut mengganggu kelancaran urusan pentadbiran serta aktiviti ekonomi di kawasan bandar.

Sehubungan itu, Zuraida meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung perkembangan terkini Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Ibai yang telah mendapat kelulusan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk cadangan pembinaan kolam takungan banjir sebagai langkah penyelesaian jangka panjang.

“Dalam masa yang sama, persediaan menghadapi Monsun Timur Laut perlu dipertingkatkan, khususnya melalui penyelenggaraan sistem saliran oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

“Kerja-kerja seperti pembersihan longkang, parit dan saliran utama di kawasan berisiko perlu dilaksanakan secara berkala bagi mengurangkan risiko kejadian banjir,” katanya.

Zuraida turut meminta penjelasan mengenai jumlah peruntukan yang disediakan kepada MBKT bagi kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran dan pencegahan banjir sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut tahun ini.

Selain itu, beliau ingin mengetahui sama ada peruntukan berkenaan mencukupi bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkala.

Menurutnya, usaha menangani masalah banjir tidak seharusnya hanya bergantung kepada pelaksanaan projek tebatan banjir berskala besar, sebaliknya perlu disokong dengan penyelenggaraan infrastruktur saliran yang konsisten serta penyediaan peruntukan yang mencukupi.


Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan