lightning-solid
Berita :
Bapa Angkat Sukan Memanah Sumbang RM7,000, Suntik Semangat Atlet Terengganu
Bapa Angkat Sukan Memanah Sumbang RM7,000, Suntik Semangat Atlet Terengganu
Amiirullah Mansor
04 Aug 26
20

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos – Pasukan Memanah Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu menerima sumbangan sebanyak RM7,000 daripada bapa angkat sukan berkenaan sebagai tanda sokongan dan galakan kepada para atlet untuk terus mencipta kecemerlangan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat yang menyampaikan sumbangan tersebut berharap ia dapat membantu melancarkan urusan serta memenuhi sebahagian keperluan pasukan.

Menurutnya, tanggungjawab itu bukan sekadar satu gelaran, sebaliknya perlu disertai dengan komitmen dan sokongan yang mampu memberikan manfaat kepada atlet.

“Kita berharap sumbangan ini dapat memberikan suntikan semangat kepada seluruh pasukan untuk terus berusaha, meningkatkan prestasi dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Meraikan Pasukan Memanah Kontinjen Terengganu di Hotel Paya Bunga, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Tambahnya, selain sokongan Kerajaan Negeri Terengganu, pihak bapa angkat juga bersedia menyediakan insentif sebagai galakan kepada atlet yang berjaya meraih pencapaian cemerlang.

“Walaupun kita bergerak sebagai satu pasukan, kita juga perlu meraikan kejayaan individu yang menunjukkan prestasi baik dan cemerlang.

“Insya-Allah, kita akan menyediakan insentif segera sebagai galakan supaya atlet lebih bersemangat untuk mencapai sasaran dan membawa pulang sebanyak mungkin pingat untuk Terengganu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan para atlet supaya sentiasa menjaga akhlak, disiplin dan imej negeri ketika menyertai kejohanan di luar Terengganu.

“Apabila keluar daripada Terengganu, kita bukan sahaja membawa nama pasukan, tetapi menjadi duta kecil kepada Negeri Terengganu Darul Iman.

“Imej sebagai anak Terengganu perlu sentiasa dijaga, selari dengan aspirasi ‘Maju, Berkat, Sejahtera’ yang meletakkan Islam sebagai cara hidup,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengurus pasukan, jurulatih, atlet dan petugas di belakang tabir yang terus memberikan komitmen dalam memperkasakan sukan memanah negeri.


Tag :

Artikel Berkaitan