lightning-solid
Berita :
Bayi Perempuan Masih Bertali Pusat  Ditemukan  Di Pekarangan Masjid
Bayi Perempuan Masih Bertali Pusat Ditemukan Di Pekarangan Masjid
Mastura Jamal Din
9 jam yang lepas
13

BESUT, 28 Julai – Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan ditinggalkan di pekarangan Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt. Mohd. Rozaime Ab. Rahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.25 pagi selepas dimaklumkan oleh orang awam.

Menurut beliau, sepasukan pegawai polis kemudian bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati bayi perempuan berkenaan ditemukan dalam keadaan selamat di dalam sebuah beg kain yang ditinggalkan di pekarangan masjid.

“Bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam dan masih bertali pusat ketika ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bayi berkenaan disahkan berada dalam keadaan sihat sebelum dibawa ke Hospital Daerah Besut oleh pihak kesihatan untuk pemeriksaan lanjut serta pemantauan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana mendedahkan atau meninggalkan kanak-kanak.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di talian 09-6959999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 


Tag :

Artikel Berkaitan